Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pengguna pengangkutan awam wajib pakai topeng muka

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong menjelaskan bahawa pengguna pengangkutan awam wajib memakai topeng muka ketika menggunakan perkhidmatan tersebut.

Jelas Wee, pihak kementeriannya sudah mendapatkan pandangan pakar berkenaan pemakaian topeng muka ketika menaiki pengangkutan awam itu.

“Walaupun dari segi undang-undang sukar untuk kita cakap wajib (pakai topeng muka) tetapi untuk pengangkutan kita wajibkan.

“Kita dah dapatkan pandangan pakar bagaimana (pemakaian) topeng muka dapat mencegah (dari terkena Covid-19).

“Saya rasa tidak apa demi keselamatan rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau perkhidmatan pengangkutan awam di MRT Bukit Bintang, Kuala Lumpur pagi tadi.

Wee Ka Siong 

Bermula hari ini, kebanyakan sektor ekonomi negara -secara berperingkat- dibenarkan beroperasi setelah kerajaan mengumumkan

Pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu. Perkara ini termasuk operasi pengangkutan awam.

Wee sebelum ini berkata, beberapa panduan berkaitan perkhidmatan pengangkutan awam akan dikuatkuasakan bagi memudahkan perjalanan orang ramai dan membolehkan syarikat terbabit beroperasi dengan baik.

Sementara itu, Wee juga menambah bahawa pengguna pengangkutan awam yang didapati mempunyai suhu badan yang tinggi, tidak dibenarkan menggunakan perkhidmatan tersebut.

Jelasnya, ini antara langkah pencegahan yang dibuat oleh sektor perkhidmatan awam terbabit.

“Selain penjarakan sosial, mereka akan disaring suhu badan dan siapa yang tak lepas suhu badan akan terus tak dibenarkan naik pengangkutan awam,” katanya lagi.

Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.