Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Gajah 'langgar PKP' gemparkan penduduk di Machang

Ketika tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) masih berlangsung, penduduk beberapa buah kampung di Mukin Batu 30, Machang, Kelantan, digemparkan dengan kehadiran sekawan gajah liar sejak 1 Mei lalu.

Kehadiran tiga ekor gajah itu pada mulanya disedari oleh penduduk setempat selepas mendengar teriakan haiwan terbabit.

Seorang penduduk, Ahmad Razin Abdul Rashid, 25, berkata dia mengetahui kehadiran gajah-gajah itu ketika haiwan berkenaan berjalan berhampiran rumahnya.

Menurutnya, kehadiran itu dikesan selepas dia selesai bersahur dan dikejutkan dengan bunyi gajak berkenaan pada awal pagi 1 Mei lalu.

"Saya dengar teriakan gajah, mula-mula saya buat tak kisah, selepas itu bunyi lagi. Saya buka pintu dan nampak kelibat mereka berjalan menuju kawasan kebun getah.

"Saya tergamam jugalah sebab dengan saiznya agak besar dan tak pernah tengok secara berdepan macam ini. Nak ambil gambar pun tak sempat," katanya ketika ditemui Malaysiakini dalam tinjauan di kampung tersebut, hari ini.

Kebetulan rumah Ahmad Razin terletak berhampiran Masjid Mukim Batu 30 yang turut menjadi persinggahan gajah-gajah tersebut.

Ahmad Razin menunjukkan penutup longkang yang patah

Salah seekor gajah tersebut dipercayai terjatuh ke dalam longkang besar di tepi masjid apabila berdasarkan keadaan penutup longkang yang pecah.

Tinjauan mendapati, dua penutup longkang bersaiz 8x4' kaki pecah dan gajah tersebut terjatuh ke dalam longkang berkenaan.

Penghulu Mukim Jambu Lawar, Che Sharif Umar, berkata itu adalah kali pertama dia menyaksikan gajah masuk ke kawasan kampung tersebut dan mengejutkan sekali gus menakutkan penduduk.

Sudah dipantau unit gajah

Disebabkan kejadian itu juga, aktiviti menoreh getah terpaksa dihentikan.

"Sejak kehadiran gajah liar ini, penduduk kampung yang kebanyakan menoreh getah semua menghentikan aktiviti mereka kerana takut dengan gajah-gajah liar tersebut.

"Ada juga kebun pisang penduduk mengalami kerosakan, mungkin sebab dirempuh ketika mereka berjalan.

"Kami juga dapat lihat kelibat gajah-gajah ini melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) masjid, nampak seekor gajah terjatuh ke dalam longkang," katanya.

Tambah Che Sharif, pihaknya turut membuat laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan berhubung kejadian itu.

"Kami lihat selepas itu pihak Perhilitan sudah membuat pemantauan dan berharap ia akan selesai secepat mungkin," katanya.

Kesan tapak kaki gajah dalam longkang masjid

Sementara itu Jabatan Perhilitan Kelantan dalam kenyataan media hari ini mengesahkan menerima laporan kejadian itu pada 1 Mei lalu dan memberitahu enam anggota unit gajah agensi itu sudah berada di lokasi untuk tinjauan dan kawalan.

"Unit tersebut akan membuat laporan dari semasa ke semasa dan mengemas kini status semasa untuk penilaian dan tindakan seterusnya. Buat masa ini, kawalan dan tembak halau dijalankan.

"Siasatan dan pemantauan didapati ada tiga ekor gajah yang berkeliaran," kata kenyataan tersebut.

Mengulas lanjut kejadian itu, Jabatan Perhilihan Kelantan berkata, lokasi kampung di Mukim Batu 30 terletak bersebelahan dengan Hutan Simpan Ulu Sat, iaitu kurang dari lima kilometer

"Hutan Simpan Ulu Sat ini merangkumi daerah Machang dan Pasir Puteh. Gajah-gajah ini sering muncul atau keluar di kampung-kampung di pinggiran hutan simpan kerana ia berasal di kawasan itu.

"Terdapat juga banyak aktiviti atau gangguan ke atas hutan simpan ini sejak 10 tahun lalu, seperti pembinaan lebuh raya, aktiviti pertanian sama ada ladang dan pembukaan kawasan," katanya.

Tambah pihak berkuasa itu, situasi semasa masih terkawal.

"Unit Gajah Perhilihan Kelantan sedang memantau keadaan. Gajah-gajah liar tersebut akan dihalau semula ke hutan untuk berada di dalam habitat mereka," jelas kenyataan itu.