Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

'PKP tiada apa-apa dibanding perang dunia, komunis, 13 Mei'

WAWANCARA | Mengimbau pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP), pemimpin politik veteran dan bekas ahli akademik Dr Syed Husin Ali berkata langkah berkenaan merupakan suatu pengalaman yang perlu ditempuh semua pihak.

Bagaimanapun, kata Dr Syed Husin yang kini sudah berusia 83 tahun, dirinya baik-baik sahaja sepanjang beberapa minggu kebelakangan ini sejak menularnya wabak Covid-19.

Bekas timbalan presiden PKR itu menjelaskan PKP “bukanlah apa-apa sangat” jika hendak dibandingkan pelbagai peristiwa lebih mencabar yang pernah ditempuhi ramai orang pada masa lalu.

“Hidup hampir sama, macam normal saja, sejak sebelum PKP lagi. Saya banyak habiskan masa di rumah dan tak berapa keluar sangat. Di bawah PKP, saya tiada pilihan,” katanya kepada Malaysiakini.

“Dah tentulah saya rindu keluar jumpa kawan-kawan, makan-makan. Saya rindu anak-anak dan cucu, tapi tak ada masalah yang benar-benar besar,” kata Syed Husin yang tinggal bersama anak perempuannya dan seorang penjaga.

“Untuk barangan runcit, saya tak ada masalah kerana saya dibantu seorang kawan yang datang setiap minggu.”

Pernah lalui era getir

Syed Husin yang pernah menjadi anggota Dewan Negara selama dua penggal antara 2009-2015, menyokong pelaksanaan PKP meskipun ketika bulan Ramadan.

“Ia perlu dilakukan meskipun (ramai yang) tidak selesa, kerana sudah tentu kita rindukan solat tarawih, dan kita pun dah rindu mahu solat Jumaat.

"Tapi di Mekah dan Madinah pun masjid tutup, jadi kita faham kenapa pengorbanan ini perlu dilakukan,” katanya.

Di sepanjang usianya, Syed Husin pernah melalui era getir dan zaman paling mencabar yang pernah melanda tanah air. 

Beliau mengimbau ketika masih masih di bangku persekolahan peringkat rendah sewaktu penjajahan Jepun ketika Perang Dunia Kedua, dari 1941 hingga 1945.

“Orang Jepun berada di sini selama empat tahun. Ketika itu, kamu tak tahu bilakah, atau adakah ia (penjajahan) akan berakhir.

"Banyak keganasan (Jepun), terutamanya pada awalnya, terhadap orang Cina di sini.

“Untuk budak-budak, sekolah masih buka dan kamu boleh bermain dengan kawan-kawan. Tetapi tidak cukup bekalan beras, kami banyak makan ubi kayu saja,” katanya.

Memandangkan keganasan banyak berlaku di bandar-bandar, Syed Husin berkata "orang bandar ramai yang terpaksa berpindah ke kawasan kampung."

"Di kampung pun, kadang-kadang askar Jepun datang kacau. Mereka cari perempuan, culik mereka.

"Jadi semua perempuan akan lari bersembunyi di dalam hutan. Ada yang tak bernasib baik, diculik, dan dibawa lari untuk sekian-sekian waktu,” katanya lagi.

Menurut Syed Husin lagi, semasa zaman darurat komunis (1948-1960), beliau ketika itu tinggal di Batu Pahat dan tidak berhadapan dengan terlalu banyak kesukaran.

“Kami tahu ada yang dipindahkan dan dikurung di kampung-kampung baru. Ada pembunuhan, pergaduhan, dan sesetengah tempat di negara ini dikenakan perintah berkurung, tapi saya tak lalui pengalaman ini.

“Seingat saya, saya masih boleh bergerak ke sana-sini, makanan bukan satu masalah, dan ia tidaklah seteruk mana, setidak-tidaknya tidak di Batu Pahat ketika itu,” katanya.

13 Mei dan ISA

Ketika satu lagi peristiwa rusuhan 13 Mei 1969 tercetus, Syed Husin sudah berpindah ke Kuala Lumpur.

“Saya mengajar di Universiti Malaya dan tinggal di Seksyen 17, Petaling Jaya. Wujud rasa takut akan keganasan dan ketidaktentuan (ketika itu), tetapi mujurlah saya tinggal dekat dengan rumah-rumah kedai dan boleh dapatkan makanan.

“Ada satu masa tu, mereka berhenti menjual, tetapi universiti bantu dengan (membekalkan) makanan.

“Malah, ada sekali tu, askar datang dekat rumah saya, berdiri di luar dalam barisan. Kami di dalam dah khuatir, tapi sebenarnya mereka datang nak bagi makanan.

"Ini berlanjutan beberapa minggu. Tak cukup makanan dan perintah berkurung, tapi akhirnya, semua kembali normal," katanya lagi.

Syed Husin sendiri pernah ditahan tanpa bicara selama enam tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dari 1974 hingga 1980, susulan demonstrasi pelajar yang menyokong protes petani Baling menentang kenaikan harga barangan pada 1974.

Ketika itu, beliau merupakan pensyarah di Universiti Malaya dan pada masa sama turut terlibat memimpin Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM).

Susulan penangkapan dan penahanan di bawah ISA itu, Amnesty International mengangkat Dr Syed Husin sebagai tahanan politik.

Satu sel dengan Anwar

“Tahanan ISA lebih lama. Malah, ia buat saya rasa macam ini (PKP) bukanlah apa-apa. Kadang-kadang, ada yang diletakkan dalam kurungan seorang diri (solitary confinement).

"Saya bernasib baik kerana saya selalu bersama kawan-kawan, tapi mereka selalu tukar-tukar ahli bilik sebab mereka tak mahu kami rapat," katanya.

Dr Syed Husin berkata beliau pernah ditahan satu sel bersama Presiden PKR Anwar Ibrahim yang ketika itu presiden Abim.

"Kami biasa berbincang soal politik setiap masa, sampailah mereka pisahkan kami,” katanya.

“Di kem tahanan Kamunting itu, makanan agak terhad. Seminggu sekali, saya dibenarkan memasak.

"Sebulan sekali, isteri dan anak-anak datang bawa makanan, saya akan simpan dan catu. Satu-satunya masa kamu boleh keluar adalah jika kamu sakit teruk dan perlu jumpa doktor.”

Untuk rekod, Anwar ditahan di bawah ISA dari 1974 hingga 1976.

Kata Syed Husin, meskipun ISA telah dimansuhkan, akta lain seperti Sosma masih membenarkan penahanan tanpa bicara.

“Kamu tak patut ada pun - tahan lama-lama tanpa bicara. Ia tak berperikemanusiaan,” katanya.

[Baca berita penuh]

Nantikan bahagian 2 wawancara: 'PH runtuh cukup surreal, aneh' - Dr Syed Husin


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.