Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Realiti kemiskinan dan norma baru Malaysia

KATA ADUN | Bayangkan jika anda tidak dapat keluar dari rumah. Pekerjaan yang anda lakukan sebelum ini tidak lagi wujud. Bekalan harian anda hanyalah bergantung kepada bantuan-bantuan ihsan yang belum tentu selalu ada.

Pasangan anda pula dilanda strok pada minggu ketiga perintah kawalan pergerakan (PKP) dan memerlukan rawatan pakar di pusat kesihatan tiga kali seminggu. Anda perlu menjaga pasangan yang kini terlantar di atas katil, dan ia melampaui kemampuan fizikal serta kewangan anda. Tiada ahli keluarga atau kawan yang dapat membantu.

Bayangkan sekiranya anda merupakan seorang bujang, menerima gaji hari sebagai tukang cuci dapur hotel, dan pada masa sama menjaga ibu tua yang kesihatannya kian merosot.

Sewaktu PKP, si ibu itu terpaksa menggunakan kerusi roda dan hilang upaya di bawah rumah berbumbung zink. Anda tidak mempunyai sebarang simpanan. Tidak dapat bekerja sepanjang tempoh PKP, bahkan anda tidak dapat melihat peluang lain kerana syarikat majikan anda baru sahaja lingkup.

Pendapatan yang sebelum PKP dulu pun sekadar cukup-cukup makan, keadaan semasa tentu membuat anda sangat gelisah setiap kali memikirkan masa depan.

Bayangkan pula anda sebagai seorang ibu tua berusia 70 tahun dan perlu menjaga anak yang kurang siuman berusia 40-an. Selama ini, anda berjuang untuk hidup dengan mengutip dan mengasingkan sampah, menjual papan kad dan tin, atau apa sahaja asalkan mendapat sesuap nasi.

Sesuap nasi yang lain datang daripada badan kebajikan yang menghantar makanan lima hari seminggu.

Tuan rumah yang membenarkan anda tinggal secara percuma di bahagian rumah yang rosak dimamah anai-anai. Kini kerosakan bertambah selepas ia dibadai ribut dan tidak dapat dibaiki kerana PKP.

Belum dapat dijangka sesiapa

Siling yang berlubang kini semakin teruk, sedangkan anda tidak dapat keluar mencari rezeki sepertimana dahulu.

Bagi rakyat Malaysia, untuk kembali kepada kehidupan normal seumpama kembali kepada keadaan yang menjadi punca kepada nasib malang mereka. Bak kata seorang wanita yang nasibnya diceritakan di atas, “PKP atau tidak, apalah bezanya. Setiap hari berlalu seperti biasa, hidup saya lebih tenang jika saya mati.”

Setiap kali timbul persoalan bilakah kita akan dapat kembali kepada kehidupan normal, saya menggigil kerana masih ada dalam kalangan kita yang berfikiran bahawa "kembali normal" itu adalah satu pilihan.

Jelas sekali apa yang berlaku kini tidak ubah seperti suatu revolusi yang tercetus secara semula jadi. Kita sekarang sedang menuju ke arah suatu orde ekonomi dunia baru; dengan bentuk dan kandungannya masih belum dapat dijangka sesiapa pun.

Apabila ekonomi berubah, masyarakat turut sama berubah; dan begitulah sebaliknya.

Impak sosial, ekonomi bahkan kesihatan mental kepada manusia di seluruh dunia akibat daripada langkah-langkah yang diambil bagi memerangi Covid-19 ternyata menggamamkan.

Terlalu banyak pekerjaan dan mata pencarian yang telah - dan bakal - hilang tanpa jaminan pulih. Akibatnya, terdapat ramai orang yang mendapati diri mereka sedang berdiri di tebing jurang kemusnahan hidup.

Virus korona mungkin menjejaskan kesihatan fizikal mereka yang dijangkiti, tetapi wabak ini bakal memberi kesan kepada status sosial, ekonomi dan kesihatan mental setiap nyawa di atas muka bumi ini. Mereka yang lemah akan menerima tamparan yang paling hebat.

Pakar bersepakat bahawa kesan patologikal Covid-19 adalah, jika seseorang itu dijangkiti ketika dia memang mempunyai penyakit serius, maka kebarangkalian terjadinya komplikasi yang membawa kepada maut adalah tinggi.

Begitu juga kesan yang dibawa oleh pandemik ini ke atas status sosial dan ekonomi. Bermakna, sekiranya anda berstatus miskin sebelum Covid-19 melanda, maka selepas PKP ini, anda akan menjadi semakin miskin.

Semua impak makro itu telah menjadi wacana arus perdana dalam kalangan elitis sosial dan politik. Namun, semasa kita bercakap mengenai digitalisasi, mempergiatkan peralihan ke arah ekonomi pascarevolusi industri keempat, terdapat segmen penting dalam masyarakat yang berdepan ancaman kehidupan.

Mereka ini - saudara semalaysia kita - tersisih jauh di sempadan masyarakat dan jauh dari pandangan serta sangat memerlukan bantuan kita terutamanya pada saat ini.

Segala keretakan, kerosakan dan tekanan tamadun kita yang diabaikan, atau ditenggelamkan oleh naratif aspirasi kejayaan kini timbul semula. Hanya sekarang, nasib mangsa yang sama diburukkan lagi oleh bala yang bertimpa-timpa gara-gara pandemik ini.

Memang mudah untuk menyalahkan sistem, tetapi sekarang merupakan peluang terbaik untuk kita sekurang-kurang membuang bahagian sistem yang rosak itu dan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih wajar, sesuai dan berperikemanusiaan.

Peranan kerajaan dan politikus

Kerajaan dan politikus mempunyai tugas yang besar untuk dimainkan, serta kuasa dan sumber yang mampu membawa perubahan. Tetapi nampak gayanya kuasa dan sumber itu seolah-olah digunakan untuk mengekalkan cara dan sistem yang bermasalah tadi demi untuk kembali kepada norma yang kita ketahui.

Suara majoriti masyarakat yang menderita dan akan terus menderita teruk, seringkali ditenggelamkan oleh suara golongan minoriti istimewa dan bertuah yang mempunyai kemampuan untuk kembali kepada norma lama.

Sepanjang tempoh PKP, pejabat saya bersama-sama sekumpulan sukarelawan dengan semangat berkobar-kobar telah memperlihatkan bahawa naluri murni manusia dan masyarakat dapat ditonjolkan dengan adunan kepimpinan dan situasi yang sesuai.

Semangat perpaduan dalam membantu mereka yang memerlukan - tanpa mengira warganegara, keturunan, agama dan politik - benar-benar menjadi sebab mengapa saya masih lagi menaruh harapan setelah saya melihat segala apa yang tulis tadi.

Selain daripada bantuan kewangan yang tidak begitu memberi kesan diumumkan sewaktu PKP bermula - kerana habis digunakan dalam masa dua minggu - tiada bantuan lain kerajaan, sama ada dalam bentuk catuan makanan, penutup hidung dan mulut, sanitizer atau makanan yang dimasak.

Jabatan kebajikan pula dibebankan dengan kerja di luar bidang mereka, sehinggakan perkhidmatan penting seperti penempatan gelandangan terpaksa ditangguhkan.

Apa pun, kami berjaya menghantar barangan asas dapur seperti sayur-sayuran segar, penutup hidung dan mulut, bahkan menyampaikan bantuan bencana, pemulihan, pembaikan dan pembinaan semula akibat ribut dengan penglibatan minimal pihak kerajaan.

Kepada para penjawat awam yang membantu bagi mempercepatkan urusan tertentu, terima kasih yang tidak terhingga kami ucapkan.

Tetapi keseluruhan bantuan dan sistem penghantaran kecemasan ini, sekurang-kurangnya di Pasir Pinji dan kawasan sekitarnya, telah digerakkan sepenuhnya oleh badan bukan kerajaan, CSO, DAP, pejabat saya dan 85 peratus didanai oleh sumber bukan kerajaan.

Di saat kita diuji dengan pelbagai ketidakpastian, dengan kerajaan yang cenderung kembali kepada norma lama meskipun terdapat sebahagian besar masyarakat yang memerlukan orde baru; kita perlu mengambil langkah yang berbeza.

Kita mesti dan akan menggesa kerajaan supaya melupakan niatnya untuk kembali kepada norma yang lama. Tetapi sekarang saya lebih yakin, ketika kita berusaha ke arah orde baru yang berbeza itu, individu, badan bukan kerajaan, persatuan awam dan naluri manusia akan berjaya mengangkat sebuah norma baru.

Solidariti, belas kasihan dan kejiranan

Pasti ada yang tertanya-tanya, apakah rupa norma baru itu? Ia adalah bahagian yang menarik: Kita akan bersama-sama membentuknya. Bagi saya, salah satu norma baru itu ialah golongan yang bernasib malang tadi mempunyai alternatif hidup yang penuh harapan dan masa hadapan.

Pihak kerajaan perlu memikirkan semula dan merombak keseluruhan polisi berkaitan kebajikan negara. Kita mempunyai ramai petugas yang unggul dalam khidmat kebajikan, sama ada daripada petugas di kementerian hinggalah ke bahagian daerah operasi.

Sudah tiba masanya mereka ini diberikan bantuan kewangan, sokongan, keupayaan modal insan dan dasar yang tepat serta mampu menyampaikan keperluan sebenar masyarakat dan rakyat.

Norma baru ini memerlukan bantuan kebajikan mencari mereka yang memerlukan, bukan lagi rakyat bawahan yang terpaksa berhempas-pulas mencari bantuan kebajikan untuk mereka yang sedang terdesak.

Kemiskinan berpunca daripada ketidaksamaan akses kepada peluang, sumber dan perkhidmatan. Kemudian diburukkan lagi dengan eksploitasi golongan miskin oleh mereka yang lebih kaya.

Virus yang kita sedang hadapi ini akan mati tatkala ia dinafikan sebarang hos dan capaian pergerakan. Begitu juga ketidaksamaan akses kepada bantuan kesihatan, pendidikan yang berkualiti, perumahan mampu milik serta sekatan eksploitasi oleh mereka yang mempunyai harta dan kuasa, kemiskinan dengan sendirinya lemas dan pupus.

Tatkala kita belajar daripada usaha dunia untuk memutuskan rantaian infeksi Covid-19, norma baru dimestikan untuk memecahkan tembok kemiskinan dan ketepinggiran mereka yang paling terdedah di dalam masyarakat.

Tuntasnya, ramuan yang paling utama bagi norma baru ini mestilah diangkat dari semangat solidariti, belas kasihan dan kejiranan. Sewaktu PKP ini, saya dapat saksikan sendiri bagaimana semangat kejiranan didefinisikan pada saat yang paling memerlukan.

Misalnya, bagaimana empat jiran tetangga bergilir-gilir menyediakan makanan untuk seorang wanita warga emas yang kekusutan akibat perlu menjaga suami yang terlalu uzur, lumpuh dan terlantar di katil.

Mereka yang berada membantu menyediakan makanan kepada yang kurang berkemampuan setiap hari untuk diedarkan di jalanan. Serta bagaimana komuniti secara proaktif menghubungi penyedia makanan dan memastikan makanan sampai kepada mereka yang tinggal di jalanan dan paling tertindas saat bencana ini.

Ini adalah ciri-ciri yang perlu dipelihara dan dibudayakan dalam norma baru kelak. Benar, ciri-ciri ini tidak akan datang sebagai polisi ataupun dipaksakan oleh kerajaan. Ia perlu hadir dari setiap insan. Ia mampu dan perlu datang daripada kita semua.


HOWARD LEE ialah Adun Pasir Pinji, Perak, merangkap ketua Pemuda DAP Kebangsaan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.