Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Polis tahan suspek bunuh rakan serumah sebab curi syabu

Mayat yang telah reput ditemui, di dalam sebuah troli di kawasan semak, maklum Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib.

Seorang lelaki berusia 47 tahun direman tujuh hari, selepas dipercayai membunuh rakan serumahnya, sebelum membuang mayat mangsa di kawasan semak di belakang sebuah pasar raya di Kampung Jawa di Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib berkata, suspek yang mempunyai 10 rekod jenayah berkaitan dadah itu, ditahan pada awal pagi 30 April lepas kira-kira kurang sejam selepas mayat berkenaan ditemui.

“Polis yang menerima maklumat pada 12.01 tengah malam telah ke kawasan semak di belakang pasar raya di Kampung Jawa itu dan menemui mayat lelaki berusia lingkungan 40-an berpakaian lengkap yang telah reput, di dalam sebuah troli bersama beg pakaian, kayu dan kotak,” katanya dalam satu kenyataan di Shah Alam hari ini.

Baharudin berkata, siasatan awal mendapati mangsa merupakan rakan serumah suspek dan suspek mengaku memukul mangsa menggunakan objek keras, kerana mangsa telah mencuri dadah syabu miliknya pada 27 April, kira-kira tiga hari sebelum mayat mangsa ditemui.

“Suspek meninggalkan mayat mangsa di rumah, sebelum cuba untuk membakarnya di kawasan semak di belakang pasar raya tersebut dengan tujuan melupuskannya namun gagal, kerana hujan dan mayat mangsa telah ditemui polis,” katanya.

Baharudin berkata, polis turut merampas dua alat yang dipercayai digunakan untuk membunuh mangsa bagi tujuan siasatan, selain menyiasat motif-motif lain berkaitan pembunuhan berkenaan.

Katanya bedah siasat terhadap mendapati punca kematian adalah akibat hentakan objek tumpul di muka dan mangsa disahkan telah mati lebih daripada dua hari. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, kerana membunuh.

- Bernama