PKP: K’jaan digesa pertimbang SOP longgar kegiatan ibadah di masjid
Kerajaan perlu mempertimbangkan kelonggaran membuka masjid dan surau untuk beribadah serta urusan lain seperti kutipan dan agihan zakat dengan ketetapan prosedur operasi standard (SOP) sempena bulan Ramadan, kata Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail.
Ini katanya memandangkan beberapa sektor dan kegiatan telah dibuka semula pada fasa keempat PKP, seperti restoran, perniagaan, urusan ekonomi dan sukan.
"Pihak kerajaan harus mempertimbangkan aspek keutamaan ibadah sepanjang ramadhan dengan mensyaratkan prosedur operasi standard (SOP) perlindungan kesihatan, aktiviti di masjid seperti solat Jumaat dan Tarawih perlu diteliti kaedah perlaksanaannya demi membenarkan umat Islam mengerjakan ibadah di bulan mulia ini.
"Jika restoran dan perniagaan dan urusan ekonomi serta bersukan dibolehkan dengan SOP tertentu, kerajaan patut juga mengeluarkan garis panduan kepada pihak pihak berkuasa agama negeri negeri untuk tujuan membenarkan umat Islam mengerjakan ibadah di masjid dan surau dengan peraturan dan kawalan yang betul oleh pihak berkuasa agama dan AJK di tempat masing-masing,” katanya pada satu kenyataan hari ini.
Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, dalam perutusan khas sempena Hari Pekerja hari ini, berkata sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial bakal dibenarkan beroperasi mulai 4 Mei tertakluk SOP yang ditetapkan- di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).
Antaranya, restoran dibenar beroperasi dengan syarat mematuhi SOP perniagaan, aktiviti sukan luar seperti bermain badminton atau tenis tanpa penonton, joging, kayuhan basikal, golf dan larian tidak melebihi 10 orang dibenarkan dengan syarat mengamalkan jarakan sosial.
Sementara itu, Azan juga berkata walaupun sambutan Aidilfitiri rentas negeri "telah disekat dan tidak dibenarkan," namun dengan SOP yang membenarkan kegiatan di masjid "sudah tentu akan mengembirakan umat Islam."
"Maka seharusnya ianya diberi sedikit kelonggaran dan dibenarkan tanpa mengabaikan aspek keselamatan kesihatan umum masyarakat setempat," jelasnya.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai