Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Salahuddin: PH sedia terima Bersatu Johor kembali

Ketika Perikatan Nasional (PN) Johor dilihat semakin tegang, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata Pakatan Harapan (PH) bersedia menerima Bersatu Johor kembali.

Dalam kenyataan media semalam, Salahuddin menyifatkan pemimpin Umno Johor "masih sarat dengan warisan saka" dan menganggap Bersatu Johor sebagai budak suruhan.

Justeru, kata Salahuddin, pemipin Umno Johor tidak mungkin berlaku adil kepada Bersatu.

"Kepada rakan-rakan dalam kerajaan PN yang menang atas mandat PH dalam pilihan raya yang lalu, jalan kebenaran penuh bermaruah masih belum jauh di belakang.

"Kami kepimpinan PH bersedia untuk nenerima anda semua kembali ke dalam keluarga besar PH," katanya.

Salahuddin juga berkata, beliau percaya pengalaman PH dan Bersatu Johor sebelum ini "lebih mulia dan harmoni" berbanding situasi dalam PN ketika ini yang menurutnya penuh prasangka dan sengketa.

"Kembalilah kepada jalan kebenaran. Biar mati berdiri, daripada hidup menghamba diri," katanya lagi.

Salahuddin berkata demikian sebagai respons terhadap perseteruan antara Umno dan Bersatu di Johor, yang timbul susulan rasa tidak puas hati terhadap pelantikan politik di agensi kerajaan.

Bersatu Johor sebelum ini mendakwa pelantikan politik, termasuk untuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri, tidak dilakukan secara adil dan menuduh Umno mengetepikannya.

Sumber pemimpin kanan Umno Johor memberi amaran bahawa ketegangan yang berlaku itu boleh menyebabkan pilihan raya mengejut di negeri berkenaan.