Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pekerja kilang sarung tangan kerja 7 hari seminggu, 'dibayar rendah'

Aktivis pekerja percaya pengeluar sarung tangan Top Glove mengetepikan undang-undang buruh “secara tidak beretika” dengan melancarkan skim membolehkan pekerjanya bekerja sehingga tujuh hari seminggu “secara sukarela” dengan bayaran yang lebih rendah daripada kadar biasa.

Skim “Heroes for Covid-19” ditubuhkan awal bulan lepas bagi menggalakkan pekerja memperuntukkan empat jam daripada hari cuti mereka untuk membuat bungkusan sarung tangan getah.

Ini bagi memenuhi lonjakan permintaan daripada petugas kesihatan dan petugas barisan hadapan lain dari seluruh dunia dalam berhadadapan dengan pandemik Covid-19.

Bagi pekerja kilang yang menerima bayaran rendah, ini bermakna, mereka harus mengorbankan satu-satunya hari cuti mereka dalam seminggu.

Sepatutnya, majikan perlu membayar 1.5 kali ganda lebih tinggi daripada bayaran per jam biasa untuk hari cuti. Buat pekerja asing di kilang Top Glove, ini sepatutnya bersamaan dengan RM11.54 sejam.

Bagaimanapun, pekerja yang menyertai skim “Heroes for Covid-19” memberitahu Malaysiakini mereka hanya dibayar RM32 untuk empat jam, atau RM8 sejam.

“Saya langsung tak rasa macam hero,” kata seorang pekerja, yang akhirnya mengambil keputusan menarik diri daripada skim itu setelah bekerja untuk 14 hari tanpa henti kerana tidak gembira dengan bayaran diterima.

Malah, kata pekerja juga, tempoh bekerja pada waktu cuti itu tidak direkodkan dalam slip gaji mereka, dan mereka turut diarahkan untuk tidak mendaftarkan kehadiran mereka seperti kelazimannya.

“Tak masuk akal dan gila untuk buat program ini, apabila pekerja dinampakkan seolah-olah menjadi hero, tetapi mereka sendiri tak dibayar dengan sewajarnya.

“Ia satu pemerdayaan, dan pemerdayaan adalah petunjuk (berlakunya) pemburuhan secara paksa,” kata pengarah kumpulan hak asasi North South Initiative, Adrian Pereira.

Tambahnya, tidak mengisi maklumat pada slip gaji juga merupakan kesalahan di bawah undang-undang buruh.

Top Glove: Bukan kerja pada hari cuti, tapi kerja sukarela

Bagaimanapun, Top Glove berkata waktu kerja dalam skim tersebut tidaklah dianggap sebagai kerja pada hari cuti. Oleh itu, bayaran diberikan hanyalah “token” buat “sukarelawan”.

“(Skim) Ini secara keseluruhannya adalah program sukarela yang digerakkan bagi mendapatkan bantuan tambahan untuk membuat bungkusan sarung tangan, bagi membantu derma sarung tangan kepada petugas barisan hadapan dan pertubuhan lain, selain untuk memenuhi lonjakan permintaan global,” jelas syarikat itu dalam satu emel.

“Ganjaran RM8 yang diterima sukarelawan adalah token penghargaan daripada syarikat untuk usaha mereka dan tidak dianggap sebagai bayaran (gaji).

“Ganjaran RM8 itu juga diterangkan secara jelas sebelum (pekerja) menyertai program sukarela itu,” katanya lagi.

Top Glove menambah bahawa audit terkininya menunjukkan syarikat patuh dengan peraturan waktu kerja dan rehat yang ditetapkan.

Kata syarikat itu lagi, secara purata, hanya 15 daripada 18,000 pekerja yang mengambil bahagian dalam skim itu setiap hari, namun perbualan dengan para pekerja pula memberi gambaran bahawa angka itu sebenarnya mungkin lebih tinggi.

Di satu kilang, misalnya, seorang pekerja berkata sekurang-kurangnya 10 pekerja bekerja pada hari cuti mereka untuk dua minggu berturut-turut. Top Glove mempunyai 44 kilang pengeluaran (manufacturing facilities).

'Mereka ingat kami tak berpelajaran dan bodoh'

Meskipun Top Glove berkata “token” itu sudah diterangkan secara jelas, sesetengah pekerja terkilan kerana ia jauh lebih rendah daripada apa yang digariskan dalam kontrak yang mereka tandatangani di negara asal masing-masing.

Sesetengah pekerja berkata mereka ada membangkitkan perkara itu kepada penyelia, tetapi mereka disuruh “diam”.

“Syarikat ini fikir kami pekerja asing ini tak berpendidikan dan sangat bodoh, jadi mereka buat banyak tindakan tak betul terhadap kami,” kata seorang pekerja kepada Malaysiakini, yang tak mahu didedahkan identiti.

Aktivis bebas hak asasi buruh, Andy Hall berkata layanan yang diterima oleh para pekerja itu adalah “sangat tidak berperikemanusiaan”.

Meskipun menganggap para pekerja itu sebagai “sebenar-benar hero” dalam memerangi Covid-19, kata Andy, mereka masih tidak diberikan upah wajar seperti yang layak diterima mereka.

“Hero-hero ini maklumkan kepada saya bahawa mereka rasa terhina ditawarkan (bekerja) oleh syarikat sarung tangan terbesar di dunia … hanya RM8 sejam untuk bekerja di satu-satunya hari cuti mereka dalam seminggu.

Susah patuh penjarakan sosial di asrama

Kebanyakan pekerja di kilang Top Glove merupakan pekerja asing.

Dalam masa beberapa minggu lalu, peningkatan kes jangkitan di asrama pekerja asing di Singapura menimbulkan kebimbangan tentang keadaan pekerja asing di Malaysia.

Top Glove memberi jaminan bahawa pekerja mereka dipantau rapi selain dibekalkan dengan kemudahan penutup mulut dan hidung serta pensanitasi tangan.

Bagaimanapun, gambar-gambar pekerja di kilang berkenaan yang dilihat Malaysiakini, menunjukkan bahawa garis panduan penjarakan sosial dilanggar.

Pekerja turut mengadu bahawa mereka tidak dapat mengekalkan penjarakan sosial, termasuklah di asrama yang menempatkan 24 lelaki dalam satu dorm 12 katil.

Kata mereka, keadaan semakin buruk semasa perintah kawalan pergerakan, kerana pekerja tidak dibenarkan memasak dan tidak digalakkan meninggalkan premis berkenaan.

“Di situlah kami memasak, di situlah kami tidur. Tidak mungkin kami dapat kekalkan penjarakan sosial dalam tempat sebegitu, di mana semua orang memasak, makan dan tidur dalam satu bilik yang besar,” kata seorang pekerja.

Gambar yang diambil di dalam kilang menunjukkan pekerja turut tidak mengekalkan penjarakan sosial di tempat kerja.

Pekerja bagaimanapun memberitahu, mereka dibekalkan dengan penutup hidung dan mulut serta pensanitasi tangan, manakala suhu badan mereka diperiksa setiap hari ketika memasuki kilang.

Tambah mereka, sesiapa yang mempunyai suhu tinggi tidak dibenarkan bekerja dan dihantar ke klinik, serta diminta tinggal di rumah sehingga pulih.

Memandangkan syarikat tidak dapat menggaji lebih ramai pekerja asing ekoran penutupan sempadan negara, Top Glove mengambil pekerja tempatan, dengan gaji pokok ditawarkan sebanyak RM1,400. Ini hanyalah RM200 lebih tinggi berbanding gaji pekerja asing.

Setakat ini belum ada kes positif membabitkan pekerja Top Glove, tetapi pekerja asing di situ memberitahu mereka bimbang dengan pertambahan pekerja tempatan baru.

“Bagi kami, kami tahu kami cuma pergi kerja dan balik ke asrama. Tapi pekerja tempatan keluar, pergi kedai, dan berjumpa orang-orang lain.

“Kami bimbang mereka mungkin dijangkiti, dan kemudian jangkiti kami pula,” kata seorang pekerja.

[Baca berita asal]