Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

BNM kesal timbul kekeliruan, kerisauan susulan perubahan prosedur moratorium

Bank Negara Malaysia (BNM) menyatakan rasa kesal kerana pengumumannya mengenai perubahan prosedur untuk moratorium enam bulan untuk pinjaman sewa beli (HP) dan pembiayaan Islam berkadar tetap semalam mungkin menimbulkan kekeliruan dan kerisauan.

Dalam soalan lazim (FAQ) yang dikeluarkan hari ini, BNM menafikan telah membatalkan keputusan mengenai penangguhan pembayaran enam bulan untuk kedua-dua pinjaman tersebut.

"Penangguhan pembayaran masih secara automatik untuk Sewa Beli dan pembiayaan Islam berkadar tetap," kata BNM dalam soalan lazim yang dikeluarkan hari ini.

BNM berkata perubahan terbaru dalam prosedur, yang memerlukan peminjam "melengkapkan dokumen untuk memberikan kebenaran yang sah bagi moratorium ini dilaksanakan", tidak dapat dielakkan.

"Pihak BNM berasa kesal atas sebarang kekeliruan dan kebimbangan yang timbul ekoran pengumuman yang dibuat," kata BNM.

"Penangguhan bayaran balik pinjaman/pembiayaan sebenarnya bertujuan membantu aliran tunai peminjam/pelanggan yang terjejas akibat pandemik Covid-19. Tujuan ini masih tidak berubah.

"Kekeliruan yang timbul adalah disebabkan oleh salah tanggapan bahawa jumlah bayaran balik sesuatu pinjaman sewa beli tidak boleh diubah.

"Salah tanggapan ini juga sedikit sebanyak mungkin disebabkan oleh ilustrasi pengiraan yang kami tunjukkan dalam versi awal soalan lazim ini, yang menggunakan beberapa andaian dan kaveat," katanya.

BNM juga berkata kekeliruan itu timbul susulan FAQ sebelum ini yang membawa kepada tanggapan tertentu.

"Kami kemudiannya mengeluarkan contoh pengiraan tersebut daripada soalan lazim ini apabila Institusi Kewangan menyediakan contoh pengiraan mereka masing-masing. Ilustrasi yang kami tunjukkan bukan bertujuan untuk ‘menghilangkan’ caj kadar faedah terakru (yang diambil kira) kepada pinjaman yang diberikan penangguhan bayaran balik," kata BNM.

Berikutan pengumuman pada 25 Mac mengenai moratoria "automatik" terhadap semua pinjaman dan pembiayaan, bank pusat semalam mengumumkan bahawa dokumentasi tambahan diperlukan untuk menangguhkan pembayaran balik pembiayaan Islam dan HP yang tetap.