Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Azalina bidas menteri kewangan isu moratorium bank

Bekas menteri undang-undang Azalina Othman Said membidas Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mengenai perubahan terbaru berhubung enam bulan moratorium pinjaman perjanjian sewa beli (HP) dan pembiayaan Islamik berkadar tetap.

"Bila menteri kewangan bukan wakil rakyat tapi wakil bank?" kata Ahli PArlimen Pengerang itu di Twitter semalam.

Azalina turut berkongsi laporan media portal kewangan Ringgitplus yang melaporkan peminjam HP dan pembiayaan Islam kadar tetap yang mengambil moratorium enam bulan berkenaan kini perlu membayar faedah tambahan.

Tengku Zafrul, yang juga merupakan bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) CIMB Group Holdings Bhd, dilantik menjadi menteri kewangan pada 9 Mac lalu.

Pada 25 Mac, kerajaan mengumumkan enam bulan moratorium terhadap pinjaman kewangan selain penstrukturan semula hutang kad kredit melibatkan RM100 bilion bermula 1 April.

Ia antara lain bagi mengurangkan beban rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Pada hari sama, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan bahawa moratorium itu dikenakan secara automatik bagi peminjam yang layak dan mereka yang tidak ingin mengambil morotarium itu perlu memaklumkan kepada bank.

Selepas sebulan moratorium itu bermula, dalam kenyataan terbaru semalam, BNM memaklumkan bahawa peminjam "perlu melengkapkan dokumen untuk memberikan kebenaran yang sah bagi moratorium ini dilaksanakan".

Laporan Ringgitplus semalam menyatakan bahawa perubahan prosedur terbaru terhadap moratorium itu juga termasuklah peminjam yang mengambil moratorium perlu membayar faedah tambahan sekiranya mengambil moratorium berkenaan.

Sejak semalam, peminjam pinjaman sewa beli dan pembiayaan Islamik kadar tetap mula menerima pemberitahuan melalui SMS, e-mel atau surat berdaftar dari institusi perbankan mereka mengenai langkah-langkah yang perlu diambil untuk melengkapkan proses penangguhan pembayaran pinjaman atau pembiayaan mereka di bawah moratorium.

Peminjam yang tidak ingin mengambil moratorium masih boleh memilih untuk melakukannya pada masa ini dengan memaklumkan institusi perbankan mereka dan meneruskan pembayaran berjadual berdasarkan syarat perjanjian mereka yang sedia ada.

[Baca berita asal]