Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

MB: Johor tingkat usaha bantu peniaga kecil berniaga dalam talian

Kerajaan Johor dalam usaha membantu peniaga kecil yang terjejas pendapatan akibat krisis Covid-19, kata menteri besarnya Hasni Mohammad.

Hasni berkata antara usaha yang dilakukan adalah memberi pendedahan kepada peniaga untuk menjalankan perniagaan secara dalam talian.

“Bila kita tidak boleh melakukan bazar (dan berniaga), tiada pilihan, kita terus galakkan berniaga secara dalam talian.

“Saya tengok ramai peniaga kecil sudah mula berminat untuk berniaga atas talian tetapi ilmu pemasaran digital kurang,” katanya dalam telesidang dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi di Facebook, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Zahid berkenaan keluhan peniaga, termasuk di Johor, yang hilang punca pendapatan ekoran penularan wabak Covid-19.

Turut serta adalah seorang usahawan dalam talian, Zaide Zainalabidin.

Hasni berkata, perkongsian ilmu oleh usahawan itu dapat memberi manfaat kepada peniaga kecil yang ingin menggunakan platform internet untuk perniagaan.

“Kepakarannya semestinya boleh membantu merancakkan pemasaran jualan mereka sekaligus membantu penajaja tersebut meraih pendapatan,” katanya.

Hasni turut berkata kerajaan negeri akan membuat penambahbaikan kepada unit digital Johor bagi melihat kaedah itu dengan lebih meluas.

Setakat ini Johor merekodkan sejumlah 660 kes positif Covid-19 dengan 17 korban.