Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

'Dua VVIP didenda RM1,000 bukan sebab ingkar PKP cuma langgar SOP'

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob hari ini menegaskan tiada pilih kasih dalam sabitan terhadap Timbalan Menteri Kesihatan, Noor Azmi Ghazali dan exco Perak, Razman Zakaria, yang didenda RM1,000 kerana melanggar Peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Kawasan Tempatan yang Dijangkiti (No. 4) Peraturan 2020.

Ismail, yang juga menteri pertahanan menjelaskan kedua-dua pemimpin itu tidak ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi sebaliknya telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang mengatur pergerakan semasa PKP, seperti tidak mengamalkan penjarakan sosial.

Ini katanya, kerana kerajaan telah mengumumkan bahawa wakil rakyat dibenarkan bergerak untuk membantu rakyat dalam tempoh PKP, tertakluk kepada peraturan dan undang-undang.

"Denda RM1000 itu hukuman kepada timbalan menteri kita dan exco Perak. Netizen bandingkan. Saya sebutkan seperti jelaskan tiada siapa yang mengatasi undang-undang di negara kita dan kerajaan bersikap adil kepada semua.

"Sesiapa langgar undang-undang akan diambil tindakan tanpa mengira sebarang kedudukan. Ini jelas apabila dua daripada VVIP kita dihukum oleh mahkamah.

"Sebagai contoh dua VVIP kita, exco perak, timbalan menteri kesihatan, mereka hanya dari segi SOP bawah peraturan. Bukan langgar perintah PKP.

"Saya dah sebutkan, wakil rakyat individu dibenarkan untuk tugas sewaktu PKP, mereka yang menjaga kepentingan rakyat di bawah tentu dibebaskan untuk bergerak memberikan bantuan dan kebajikan pengundi rakyat di bawah dibenarkan tetapi kesalahan mungkin dari segi penjarakan sosial, ari segi SOP mungkin tindakan dikenakan," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya.

Menjelaskan lanjut, Ismail berkata mahkamah boleh mengenakan denda yang lebih rendah sebanyak RM100 atau RM200 tetapi memutuskan untuk menjatuhkan denda maksimum sebanyak RM1,000.

Peraturan itu juga memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan tetapi mahkamah tidak memenjarakan kedua-dua orang kenamaan tersebut.

Menurut Ismail, banyak hukuman yang lebih berat dikenakan terhadap pesalah PKP bukan kerana mereka melanggar PKP sahaja atau terdapat dua jenis undang-undang untuk dua darjat masyarakat berbeza sebagaimana yang didakwa sesetengah pihak.

"Kesalahan lain ada pernah sebut ramai dipenjara bukan sebab kesalahan PKP semata-mata tetapi kesalahan lain di bawah Kanun Keseksaan. Contoh ditangkap halang petugas penjawat awam.

"Ada racist, tangkap, gaduh dengan polis, lawan polis dan halang penjawat awam, langgar sekatan jalan raya sampai anggota polis patah kaki dan lain-lain...

"Bermakna dipenjarakan bukan hanya sebab (ingkar) PKP, langgar SOP tapi kesalahan lain melibatkan Kanun Keseksaan.

"Itu sebab hukuman berbeza, bukan kerana ada dua darjat yang cuba digambarkan ramai di luar sana," jelas beliau lagi.

[Baca berita asal]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.