Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kes global koronavirus cecah tiga juta, sekatan mula dilonggarkan

GLOBAL l Kes-kes koronavirus yang disahkan di seluruh dunia melepasi 3 juta pada Isnin, dengan Amerika Syarikat mempunyai hampir 1 juta kes, menurut laporan Reuters.

Pada masa yang sama, beberapa negara mengumumkan mereka akan melonggarkan syarat-syarat sekatan dan penutupan yang menyaksikan dunia pegun seketika selama lapan minggu kebelakangan ini.

41 kes pertama disahkan di Wuhan, China, pada 10 Januari tahun ini. 3 juta jangkitan kemudian disahkan dalam masa kurang dari empat bulan, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Purata 82,000 kes dilaporkan setiap hari dalam seminggu kebelakangan ini. Lebih satu perempat daripada semua kes dicatatkan di Amerika Syarikat, dan lebih 43 peratus telah direkodkan di Eropah.

Jumlah kematian akibat virus itu berjumlah lebih 205,000 orang pada Isnin, dan hampir satu dari tujuh kes yang dilaporkan berakhir dengan kematian.

Angka kematian sebenar mungkin jauh lebih rendah kerana jumlah jangkitan tidak merangkumi banyak kes ringan atau gejala yang tidak disahkan.

Beberapa negara yang terjejas teruk di Eropah, termasuk Itali, Perancis dan Sepanyol, telah mencatatkan penurunan jumlah kes harian dalam beberapa minggu kebelakangan ini, tetapi masih mencatatkan 2,000 hingga 5,000 jangkitan baru setiap hari dalam seminggu terakhir ini.

Jumlah kes meningkat 2.5 peratus pada Ahad, kadar harian terendah dalam hampir dua bulan, dan turun dari kemuncaknya pada akhir bulan Mac lalu ketika jumlahnya meningkat lebih 10 peratus sehari.

Amerika Syarikat melaporkan lebih 30,000 kes baru sehari dalam seminggu lalu, dan sekarang mewakili sekitar satu pertiga dari semua kes baru.

Tentatif pembukaan semula

Itali menyatakan negara itu akan membenarkan beberapa kilang dibuka semula pada 4 Mei sebagai sebahagian daripada pembukaan semula secara berperingkat, sementara Sepanyol telah melonggarkan beberapa sekatan pada Ahad, dengan membolehkan kanak-kanak bermain di luar dengan pengawasan.

Beberapa negeri AS juga telah membuka semula perniagaan. Ada ramalan bahawa kadar pengangguran di negara itu akan mencecah 16 peratus untuk bulan April.

Di Asia, yang mencatatkan kurang dari 7 peratus dari semua kes di seluruh dunia, beberapa negara sedang berusaha untuk memastikan jangkitan baru dapat dihindarkan. Ini termasuk Jepun dan Singapura, yang menyaksikan kes-kes meningkat pada bulan April walaupun sebelumnya ada usaha yang berjaya memperlambatkan penularan tersebut.

- Reuters

[Baca berita penuh]