Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

NZ mula longgar sekatan: 400,000 kembali bekerja

GLOBAL | New Zealand secara beransur-ansur keluar daripada langkah sekatan ketat pada hari ini. Negara itu berkata telah menghentikan penularan Covid-19 di kalangan orang ramai.

Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern dipetik media antarabangsa menjelaskan mengenai penghapusan perintah penutupan di negara ini.

Beliau berkata "virus itu sekarang telah dihapuskan" tetapi memberi amaran mengenai tempoh inkubasi Covid-19 supaya orang ramai sentiasa berhati-hati kemungkinan akan ada lagi lebih banyak kes pada masa depan.

"Ia boleh mengambil masa dari dua hingga 10 hari bagi individu yang terdedah kepada Covid-19 untuk mengalami gejala. Ini bermakna kita tidak akan dapat mengesan virus itu selama beberapa minggu dan hal itu boleh membawa kita kembali semula ke tahap sebelum penutupan.

"Dengan lebih banyak orang kembali bekerja hari ini, kita perlu lebih waspada," katanya, lapor The Guardian.

New Zealand sekarang berada di fasa yang kurang teruk - dikenali sebagai Tahap Tiga.

Menurunkan tahap amarannya dari empat ke tiga bermaksud beberapa perniagaan bukan bidang utama, penjagaan kesihatan, taska dan sekolah dapat dibuka semula pada pagi ini.

Adern menjelaskan pada "tahap tiga akan menyaksikan lebih 400,000 warga New Zealand kembali bekerja, menjadikan jumlah keseluruhan 1 juta orang rakyat Kiwi sedang bekerja."

"Pada tahap tiga, 75 peratus ekonomi kembali berfungsi, dengan bangunan dan pembinaan, perhutanan, pembuatan dan runcit mula beroperasi, projek infrastruktur utama diteruskan lagi operasinya pada hari ini," katanya.

New Zealand yang memiliki guna tenaga kerja seramai 2.5 juta orang itu berjaya membendung wabak Covid-19 sejak awal lagi dengan langkah sekatan pergerakan ketat, pengasingan dan penutupan sempadan.

Negara tersebut merekodkan kurang 1,500 kes positif Covid-19 dan 19 kematian dilaporkan berkaitan dengan wabak berkenaan.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.