Harga minyak rendah, kerajaan perlu pelbagaikan pendapatan
ULASAN | Meskipun harga minyak mentah terlalu rendah sejak awal tahun ini disebabkan perang harga yang melibatkan Arab Saudi dan Rusia - serta diapi-apikan oleh AS - ia kini memasuki keadaan lebih membimbangkan kerana impak pandemik Covid-19.
Permintaan global yang lemah, larangan perjalanan antarabangsa dan sekatan pergerakan lain menyebabkan lebihan minyak mentah dalam industri minyak dan gas (O&G) membawa kepada penurunan harga minyak pada tahap paling rendah.
Di AS, kekurangan tempat yang amat ketara untuk menyimpan minyak West Texas Intermediate (WTI) menyebabkan pedagang minyak sanggup membayar kepada orang yang sudi mengambil minyak daripada mereka.
Harga minyak mentah Brent kini berada pada paras AS$20 (RM87.90) setong, lebih rendah dari harga minyak yang baru disasarkan kerajaan bernilai di antara AS$35 hingga AS$40 setong.
Usaha menyelaraskan harga minyak yang stabil dilakukan oleh Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (Opec) bersama OPEC + dengan perjanjian untuk mengurangkan pengeluaran minyak sebanyak 9.7 juta tong sehari (bpd) pada Mei dan Jun.
Ini akan diikuti dengan penurunan pengeluaran secara beransur-ansur sebanyak 7.7 juta bpd dari 1 Julai hingga 31 Dis tahun ini, dan 5.8 juta bpd selama 16 bulan dari 1 Jan 2021 hingga 30 April 2022.
Pada masa yang sama, Malaysia bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran sebanyak 136,000 bpd pada Mei dan Jun, iaitu jumlah lebih besar daripada jangkaan.
Namun, keputusan tersebut dikatakan terlalu sedikit dan lambat memandangkan betapa permintaan yang agak lemah telah mempengaruhi harga minyak.
Hadapi masalah aliran tunai
Sejauh ini, harga minyak global yang lebih rendah menguntungkan pengguna kerana harga bahan bakar menjadi lebih berpatutan. Sehingga minggu ini, RON95 berharga RM1.25 seliter, RON97 pada RM1.55 seliter dan diesel RM1.43 seliter.
Yang rugi kali ini ialah syarikat O&G domestik dan juga kerajaan. Ketidaktentuan harga minyak boleh membahayakan Malaysia memandangkan negara kita adalah pengeksport bersih O&G dan sangat bergantung kepada pendapatan minyak.
Selain itu, satu pihak yang - ironisnya - rugi ialah syarikat pam petrol yang mengeluarkan bahan bakar di peringkat runcit kepada pengguna yang memerlukan. Sama ada harga minyak tinggi atau rendah, keuntungan bagi syarikat-syarikat ini adalah sangat rendah.
Walaupun ia merupakan perniagaan penting di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP), permintaan runcit untuk petrol berkurangan kerana sekatan perjalanan.
Mereka dilaporkan mengalami masalah aliran tunai yang serius untuk meminta lebih banyak petrol - walaupun harga minyak lebih rendah - sekiranya simpanan yang ada di stesen mereka habis, sama ada semasa PKP atau jika ia diperpanjangkan.
Ini disebabkan oleh sifat "unik" industri yang memerlukan mereka membayar terlebih dahulu untuk petrol yang dibekalkan oleh syarikat O&G sebelum dapat melihat lori tangki datang membawa bahan berkenaan.
Dan jika masalah mereka itu tidak ditangani, mungkin ia akan mencetuskan krisis dalam kalangan pemilik kenderaan semasa pasca-PKP apabila tidak ada stesen pam yang mempunyai bahan untuk dibeli pelanggan.
Mungkin syarikat O&G yang membekalkan petrol dapat memberikan potongan harga yang besar atau moratorium pembekalan petrol yang dipesan terlebih dahulu.
Memandangkan ketidaktentuan harga minyak, terdapat keperluan kritikal bagi kerajaan untuk mempelbagaikan sumber pendapatannya kerana kesan teruk wabak yang mungkin memerlukan pakej rangsangan lebih lanjut.
Jadi, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah menentuukur semula belanjawan negara tepat pada masanya untuk mencerminkan perubahan keadaan ekonomi.
Sebagai contoh, sebuah negara penghasil minyak di Teluk, Oman, yang berdepan dengan impak buruk oleh keadaan ekonomi sekarang mengumumkan akan mengkaji semula belanjawannya setiap tiga bulan.
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz baru-baru ini berkata kerajaan mengambil kira harga minyak global yang lebih rendah dalam menentukan defisit yang baru dijangka – lebih 4 peratus pada 2020.
Tubuh Dana Kestabilan Minyak
Meskipun begitu, panduan terkini diperlukan untuk memastikan jika setiap perubahan harga minyak sebanyak AS$1 akan tetap mengakibatkan kerugian pendapatan kerajaan sebanyak RM300 juta.
Kedua, salah satu saranan dasar yang muncul dalam mempelbagaikan asas pendapatan ialah memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST).
Walaupun kemungkinan besar saranan ini tidak akan diterima baik kebanyakan orang karena kesukaran yang dihadapi sekarang, ia dapat dikaji secara menyeluruh untuk dilaksanakan dalam jangka pertengahan jika keadaan bertambah baik dengan kadar permulaan serendah 1 dan 2 peratus.
Sebagaimana yang dikatakan oleh ahli ekonomi UOB, Julia Goh, "GST adalah cukai yang lebih luas dan positif untuk kekuatan fiskal, tetapi jika diperkenalkan pada waktu yang salah ia lebih merosakkan sentimen pengguna dan ekonomi".
Ketiga, seperti yang diusulkan sebelumnya, kerajaan dapat memanfaatkan Kumpulan Wang Amanah Negara yang ditubuhkan pada 1988. Dana ini menyimpan kekayaan dari minyak dan sumber semula jadi lain untuk generasi akan datang dan asas aset berjumlah RM16.9 bilion pada akhir 2017.
Pertimbangan selanjutnya ialah menubuhkan Dana Kestabilan Minyak dengan sumbangan lebihan hasil minyak ketika harga minyak sedang meningkat.
Ini adalah untuk mengatasi cabaran jangka pendek dasar fiskal dan berfungsi menghasilkan dasar yang lebih menentu dengan menyah paut membatalkan perbelanjaan awam dari harga minyak.
Dana ini wujud di negara-negara seperti Nigeria, Algeria dan Russia.
Petronas telah mengatakan sebarang dana tambahan dari agensi itu untuk menyumbang kepada pakej rangsangan kerajaan bergantung pada kemampuannya untuk membiayai operasi, melunaskan hutang dan kewajipan syarikat di tengah-tengah harga minyak yang semakin lemah.
Ini semua menunjukkan peri perlunya kerajaan lebih fleksibel dengan tidak terlalu bergantung pada sektor O&G dan mula melihat sektor lain yang lebih lestari serta menambah nilai ekonomi.
JAMARI MOHTAR dan SOFEA AZAHAR ialah sebahagian daripada pasukan penyelidik Emir Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan terperinci, konsisten dan menyeluruh.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai