Berita palsu: Pekerja asing tanpa izin ada 4 juta - Jabatan Perangkaan
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini menegaskan kenyataan yang sedang tular termasuk di media sosial dan aplikasi whatsapp serta telegram berkaitan statistik pekerja asing tanpa izin pada 2019 adalah palsu.
“Semua pihak diminta berhenti menyebarkannya serta merta,” kata DOSM dalam satu kenyataan.
Antara kandungan kenyataan palsu yang ditular itu menyebut; "According to data released by the Statistics Malaysia in 2019, the total number of legal and illegal foreign workers in Malaysia has reached 6.7 million (Mengikut data dikeluarkan Jabatan Statistik Malaysia pada 2019, jumlah keseluruhan pekerja asing sah dan tidak sah di Malaysia telah mencecah 6.7 juta).
“Of these, only about 2.7 million are legal foreign workers, and the other four million are illegal foreign workers (Daripada jumlah itu, 2.7 juta adalah pekerja asing sah, dan empat juta lagi adalah pekerja asing tidak sah).”
DOSM menegaskan pihaknya tidak pernah mengeluarkan statistik berkaitan pekerja asing tanpa izin tersebut, dan mengingatkan orang ramai supaya memastikan maklumat adalah sahih, sebelum dikongsikan.
DOSM berkata ia telah mengeluarkan data awalan Statistik Tenaga Buruh (STB) bagi tahun 2019 pada 11 April 2020, yang melaporkan tenaga buruh Malaysia merekodkan 15.6 juta orang pada 2019 berbanding 15.3 juta pada 2018.
Menurut dapatan awalan STB 2019, statistik tenaga buruh mengikut kewargananegaraan adalah 13.3 juta orang warganegara dan bukan warganegara adalah 2.3 juta orang.
DOSM berkata statistik tenaga buruh secara terperinci akan diterbitkan pada 29 April ini.
Orang awam juga boleh mendapatkan statistik rasmi melalui portal DOSM (www.dosm.gov.my) atau media sosial DOSM (@StatsMalaysia).
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai