Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Jangan panik jika terserempak haiwan liar - Perhilitan

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang menerima beberapa laporan mengenai kehadiran haiwan liar di kawasan berpenduduk baru-baru ini, menasihatkan orang ramai supaya tidak panik jika berhadapan dengan situasi itu.

Pengarahnya Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata sekiranya terserempak dengan haiwan liar, orang ramai diminta supaya melaporkan segera kepada Perhilitan untuk tindakan lanjut.

"Kami akan hantar petugas untuk mengenal pasti dan membantu sekiranya wujud ancaman terhadap penduduk sekitar. Ada kemungkinan juga lokasi itu hanya menjadi laluan persinggahan haiwan liar berkenaan," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) aktiviti manusia yang semakin berkurang secara tidak langsung mengurangkan 'gangguan' terhadap haiwan liar, menyebabkan ia 'selesa' untuk keluar mencari makanan memandangkan, habitatnya bersempadan dengan penempatan penduduk.

Semalam, tular di media sosial satu video berdurasi 21 saat yang memaparkan empat ekor gajah berkeliaran di sekitar kawasan Petron Kenyir di Hulu Terengganu yang dipercayai dirakam pekerja stesen minyak itu.

Dr Abdul Malek mengesahkan pihaknya ada menerima laporan itu dan siasatan mendapati laluan itu sudah lama tidak digunakan oleh gajah liar.

- Bernama