Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Afif kata MP Batu ajak jumpa

Pemimpin PKR yang digantung, Dr Afif Bahardin hari ini menafikan beliau telah membuat tawaran kepada Anggota Parlimen Batu, P Prabakaran supaya meninggalkan parti itu untuk bergabung dengan Gerakan.

Bercakap kepada Malaysiakini, Afif mengaku telah bertemu dengan Prabakaran beberapa minggu yang lalu, tetapi tiada tawaran sebagaimana yang pertama kali didakwa oleh Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

"Saya menafikan hal itu, bahawa saya boleh menawarkan sesuatu kepadanya (Prabakaran).

"Saya tidak mampu untuk menawarkan apa-apa kepadanya," kata Afif.

Semalam, Prabakaran mengulas pertanyaan media selepas Farhash mendakwa Afif 'berpura-pura' berhubung keputusan menggantungnya dari PKR.

Menurut Farhash, bukan lagi satu rahsia bahawa Afif mengajak anggota parlimen Batu itu untuk menyertai parti Gerakan sebelum ini.

Bercakap kepada Malaysiakini, Prabakaran berkata beliau menolak tawaran Afif agar menyertai Gerakan yang didakwa berlaku ketika pertemuan mereka baru-baru ini.

Prabakaran (gambar, atas) juga mengeluarkan satu kenyataan berasingan dan menegaskan beliau akan setia bersama PKR.

"Saya akan kekal bersama PKR demi kesinambungan perjuangan saya bersama rakyat. Saya bukan pengkhianat," kata MP Batu.

Mengulas lanjut, Afif mendakwa Prabakaran telah menyatakan hasrat mahu berjumpa dirinya dan akhirnya mereka bertemu ketika salah satu perjalanannya ke Kuala Lumpur dari Pulau Pinang baru-baru ini, pada awal peringkat awal perintah kawalan pergerakan (PKP).

"Saya berkongsi sentimen saya tentang bagaimana parti perlu bergerak.

"Lebih kepada perbincangan antara sahabat, saya dan beliau sebagai pemimpin muda PKR. Tetapi saya sedikit lebih berpengalaman daripada beliau," kata Adun Seberang Jaya itu.

'Saran cakap dengan timb menteri WP'

Perbualan mereka juga, dakwa Afif turut menyentuh tindakan disiplin yang diambil oleh PKR terhadap beberapa pemimpin.

Pada pertemuan itu, Afif berkata Prabakaran turut menyebut kesukaran yang dihadapinya selaku MP pembangkang, khususnya untuk mengumpul dana bagi program di kawasan parlimennya.

Menurut Afif, beliau kemudian menyarankan Prabakaran selaku MP di Kuala Lumpur untuk bercakap dengan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Edmund Santhara, yang juga bekas anggota parlimen PKR.

"Itu keputusan yang beliau perlu buat sendiri. Saya tidak ada apa-apa hendak ditawarkan," katanya.

Afif ialah sekutu rapat bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali yang membantu keruntuhan kerajaan PH melalui "Langkah Sheraton."

Azmin mengetuai sekumpulan MP berpaling tadah dari PKR, manakala Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengumumkan partinya keluar daripada PH.

Bersama PAS, Umno, GPS dan pembangkang ketika itu, mereka membentuk kerajaan baru Perikatan Nasional.

Terdapat spekulasi sebelum ini, MP PKR yang berpaling tadah akan mengambil alih Gerakan dan mengubah namanya untuk menjadi parti mereka sendiri, walaupun rancangan itu masih belum terlaksana.

[Baca berita asal]