Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Mayat bayi cukup sifat dibuang tepi jalan

Mayat seorang bayi perempuan cukup sifat ditemukan di dalam beg kertas yang ditinggalkan di tepi jalan raya di Seksyen 6 Wangsa Maju di Kuala Lumpur, pada Ahad.

Bayi malang yang masih bertali pusat itu ditemukan orang awam sekitar 10 pagi dalam keadaan dibalut dengan kain berwarna coklat.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Rajab Ahad Ismail berkata berdasarkan maklumat saksi awam, seorang lelaki dan wanita dilihat meletakkan beg berkenaan di tepi jalan itu.

“Sebelum penemuan itu, sekitar 9.30 pagi, saksi yang melihat kejadian tersebut berkata kedua-dua individu berkenaan menaiki motosikal jenis Yamaha 135LC berwarna hitam dan pembonceng (wanita) itu meletakkan beg kertas sebelum mereka bergegas meninggalkan lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, saksi tidak dapat mengecam muka dan bangsa kedua-dua suspek itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rajab berkata mayat bayi telah dibawa ke Unit Forensik HKL untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes ini boleh menyalurkannya kepada ASP G. Stephen (Pegawai Penyiasat) di talian 016-376 7390 atau Pusat Kawalan Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460522 samb. 584/585 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.