Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Rohingya: Apa kata Hadi Awang

Sesiapa saja yang dizalimi, kata Abdul Hadi Awang, wajar dilindungi kerana itulah ajaran dianjurkan Islam.

Menurut presiden PAS itu, Islam menekankan kepentingan aspek itu tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit pihak yang dizalimi.

Malah katanya ajaran itu wujud sebelum adanya piagam antarabangsa.

"Berdasarkan realiti tersebut, sepatutnya masyarakat antarabangsa tidak boleh membiarkan sahaja kelakuan kerajaan Myanmar menyekat hak beragama dan berpolitik kepada rakyatnya sendiri di tanah air," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut duta khas perdana menteri ke Timur Tengah itu lagi, langkah yang perlu diambil ialah menghalang penghapusan etnik dan paksaan ke atas rakyat Rohingya kerana faktor agama dan kaum oleh kerajaan Myanmar, bukannya menghalalkan tindakan kerajaan negara itu dengan membuka pintu untuk terus dihalau dan dijadikan pelarian.

 Pada masa sama Abdul Hadi menyarankan pihak yang mengkritik "hanya pandai mengkritik" dalam isu berkenaan agar melihat diri sendiri dan memahami sejarah asal-usul mereka.

"Inilah konsep Islam terhadap pelarian tanpa mengira agama dan bangsa.

"Semua pihak yang hanya pandai mengkritik sepatutnya menyuluh diri sendiri terlebih dahulu dan mengkaji sejarah di tempat asal mereka, bagaimana cara bertindak terhadap pelarian dan apakah layanan mereka terhadap pendatang.

"Jangan bercakap setelah hilangnya kuasa, laksana panglima ayam jantan yang hanya kuat berkokok sahaja," katanya.

Sibuk hadapi krisis dalaman

Bagaimanapun Abdul Hadi tidak menyatakan secara jelas pihak atau kumpulan yang dirujuknya sebagai perlu melihat kembali sejarah dan hilang kuasa itu.

Isu Rohingya kembali melatari politik negara ini ekoran insiden pihak berkuasa memintas bot membawa kira-kira 200 pelarian dari Myanmar baru-baru ini.

Ia menghidupkan semula polemik mengenai kewajaran kerajaan menerima pendatang terbabit atas dasar kemanusiaan atau membiarkan mereka kembali ke laut.

Hari ini beberapa pemimpin kanan PAS tampil memberi kenyataan mengenai isu berkenaan.

Abdul Hadi menambah berdasarkan realiti semasa masyarakat antarabangsa tidak boleh membiarkan saja kelakuan Myanmar yang menyekat hak beragama dan berpolitik rakyatnya.

Katanya dasar menerima pendatang adalah tindakan kemanusiaan dan bersifat sementara saja namun wajib ditanggung secara bersama oleh masyarakat antarabangsa mengikut piagam antarabangsa, bukan Malaysia saja.

Ahli parlimen Marang itu juga mengingatkan PAS bersama BN sebelum ini pernah bersama untuk menangani isu pelarian Rohingya walaupun pada ketika itu mereka berada di pihak bertentangan.

"Ini tidak sama seperti PH (Pakatan Harapan) yang hanya kedengaran suara Dr Mahathir Mohamad keseorangan di mimbar PBB, tetapi PH lebih sibuk menghadapi krisis dalamannya kerana menanti Mahathir meletakkan jawatan," katanya lagi.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.