Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Bekas tentera sangkal kenyataan kecam pelarian Rohingya

Seorang anggota tentera yang bersara mendakwa kenyataan yang kononnya dia mengecam pelarian Rohingya di Malaysia diambil dari luar konteks.

Kenyataan rasmi Mohd Radzi Abdul Hamid mengenai Rohingya bertajuk "Siapakah Rohingya?" telah dimuat naik di media sosial dan dikongsi oleh ribuan netizen.

Terkejut dengan perkembangan itu, Mohd Radzi mengeluarkan kenyataan bagi menjelaskan bahawa terdapat individu yang tidak bertanggungjawab telah menggunakan nama penuh dan gambarnya, serta mengaitkan Angkatan Tentera Malaysia dalam kenyataan tersebut.

"Kenyataan itu disebarkan secara meluas untuk kepentingan peribadi dan saya tidak tahu mengapa," katanya.

Ketika dihubungi, Mohd Radzi menjelaskan bahawa petikan artikel itu diambil dari sembang santainya dengan pengikut di Facebook.

"Seseorang telah menyalin artikel itu secara tidak bertanggungjawab, mengubahnya, dan membuatnya kelihatan rasmi dengan memasukkan gambar saya, nama penuh, dan menyatakan Angkatan Tentera Malaysia.

"Ini salah," katanya.

Ditanya pandangannya mengenai isu Rohingya, Mohd Radzi berkata kerajaan telah membantu para pelarian dengan sebaik mungkin tetapi harus mengembalikan pelarian ke negara asal atau pusat pelarian di bawah Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Pelarian (UNHCR).

"Kita telah menolong mereka dengan sebaik mungkin walaupun kita tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951. Mereka harus dihantar pulang atau ke pusat pelarian. UNHCR harus memutuskannya.

"Kita menolong mereka kerana agama kita mengajar kita untuk menolong, tetapi kita juga harus berhati-hati. Mereka inginkan lebih daripada apa yang diberikan," katanya.

Isu mengenai Rohingya timbul semula setelah pihak berkuasa menghalang kapal yang membawa pelarian Rohingya mendarat di pantai Malaysia baru-baru ini.

NGO Hak Asasi Manusia, Amnesty International, antara lain, telah mengecam pihak berkuasa kerana tidak membenarkan pelarian masuk ke negara ini.