Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pengangguran perlu diatasi segera

ULASAN | Ketika semua perkara sedang mengalami kejatuhan nilai, sama ada harga minyak dunia, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), atau ekonomi global secara keseluruhannya, terdapat beberapa perkara yang nilainya meningkat naik, salah satunya ialah kadar pengangguran.

Awal April, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah mengeluarkan hasil kaji selidik mengenai Impak Covid-19 Terhadap Ekonomi dan Individu (pusingan pertama) dan seramai 168,182 responden telah mengambil bahagian dari seluruh negara.

Berdasarkan kajian tersebut, hampir 47 peratus pekerja yang bekerja sendiri telah kehilangan pekerjaan mereka – lebih kurang 19,677 responden. Manakala bagi mereka yang masih mempunyai pekerjaan, 35.5 peratus dilaporkan mengalami penurunan pendapatan melebihi 90 peratus.

Jika peratusan tersebut diambil dalam skala sebenar, ini bermakna daripada 2.86 juta pekerja yang bekerja sendiri, 1.34 juta pekerja telah kehilangan pekerjaan. Dan hampir 540,000 lagi mengalami kejatuhan pendapatan melebihi 90 peratus.

Ini baru mengambil kira mereka yang bekerja sendiri, belum lagi dihitung mereka yang bekerja dengan majikan.

Walaupun DOSM mengatakan ini bukanlah statistik rasmi, namun ia boleh digunakan untuk menyokong gambaran tentang situasi semasa.

Definisi pekerja yang bekerja sendiri ini meliputi peladang, penternak, nelayan dan yang mempunyai perniagaan sendiri tanpa menggaji pekerja, termasuk mak cik Kiah yang menjual pisang goreng di gerai secara sendirian.

Pada masa yang sama, di peringkat global, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) memberi gambaran bahawa hampir 25 juta pekerja akan hilang pekerjaan, dengan kehilangan pendapatan menghampiri AS$3.4 trilion (RM14.8 trilion) jika virus ini tidak dikawal.

Manakala, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menganggarkan kira-kira 2.4 juta rakyat Malaysia akan kehilangan pekerjaan akibat krisis Covid-19 ini.

Lebih memburukkan keadaan, anggaran ini dibuat berdasarkan tempoh satu bulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Ini bermakna, dengan lanjutan PKP yang baru diumumkan sehingga 12 Mei, jumlah tersebut juga berkemungkinan meningkat.

Suntikan fiskal bukan untuk tempoh yang panjang

Sudah tentu, lanjutan PKP dapat membantu negara dalam menangani penularan virus pandemik ini, namun ia juga memburukkan lagi krisis ekonomi yang sudah mula terjejas sebelum Covid-19 ini menyerang dunia.

Suntikan fiskal secara terus bernilai RM35 bilion melalui pakej rangsangan Prihatin rakyat sedikit sebanyak dapat membantu rakyat Malaysia dalam menghadapi wabak ini, namun ia bukan untuk tempoh waktu yang panjang. Dan negara tidak dapat elak daripada peningkatan kes pengangguran.

Peningkatan ini secara tidak langsung akan memberi tekanan terhadap kerajaan dan Bank Negara dalam memulihkan semula ekonomi, sama ada mereka akan memberi ganti rugi kepada pekerja yang terkesan, atau berusaha meyakinkan majikan untuk mengekalkan pekerja mereka sehingga wabak ini berakhir.

Kegagalan dalam membentuk dasar yang kamil akan mengakibatkan kemelesetan yang lebih teruk, dan mereka berkemungkinan perlu mempertimbangkan pakej rangsangan tambahan untuk menambah baik pakej rangsangan yang sedia ada.

Peningkatan pengangguran bukan hanya berlaku di Malaysia, malah secara serentak di seluruh dunia. Pengangguran di Amerika Syarikat meningkat sehingga 16.25 peratus dalam tempoh masa hanya lima minggu, menyamai 26.5 juta rakyat Amerika.

Di Sepanyol, kadar pengangguran telah melepasi 14 peratus, antara yang tertinggi bagi negara yang sudah membangun.

Jadi, apakah yang boleh kita lakukan?

Kerajaan Malaysia, terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang diketuai oleh Dr Noor Hisham Abdullah, telah diiktiraf antara institusi yang terbaik dalam membendung penyebaran wabak pandemik ini.

Kerajaan Malaysia, dengan pelaksanaan PKP yang ketat, dibantu oleh pelbagai pihak termasuk anggota Tentera di barisan hadapan, nekad memberi sedikit kelonggaran terhadap perkhidmatan yang penting untuk terus beroperasi dalam memastikan ekonomi negara dapat berjalan ketika PKP ini masih berlangsung.

Hasilnya? Masih tiada satu kes, atau kluster baharu daripada perkhidmatan ini yang dijangkiti Covid-19. Ini patut diberi pujian.

Langkah ini wajar diteruskan untuk perkhidmatan yang lain secara berperingkat demi kelangsungan ekonomi negara tanpa mengabaikan cara pelaksanaan yang sama – penjarakan sosial, tiada kontak secara terus dan keperluan memakai topeng muka merupakan perkara yang wajib dipatuhi jika ingin terus beroperasi.

Pelan pemulihan ekonomi

Ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban majikan daripada pendapatan sifar, seterusnya memberi peluang untuk majikan mengekalkan pekerja yang sedia ada dan secara tidak langsung mengurangkan kadar pengangguran.

Selain itu, pelan pemulihan ekonomi negara perlu diwujudkan dengan segera meliputi pelan jangka masa pendek, sederhana dan panjang untuk mempelbagaikan ekonomi negara dan mewujudkan peluang pekerjaan yang baru.

Pelan ini harus merangkumi pemerkasaan sekuriti makanan negara, penyediaan platform transformasi digital seperti Revolusi Perindustrian Keempat (4IR), pembangunan teknologi hijau dan lain-lain lagi.

Bagi individu pula, peningkatan kelas-kelas atas talian (online) percuma yang wujud semasa PKP ini perlu diambil dan digarap, seperti yang ditawarkan oleh Harvard University, untuk meningkatkan kemahiran yang sedia ada sebagai persediaan dan sokongan tambahan dalam mencari pekerjaan kelak.

Kita masih tidak dapat mengetahui sejauh manakah tahap dan intensiti wabak Covid-19 yang disebabkan oleh virus SARS Cov-II, namun apa yang pasti, apabila PKP ini berakhir, krisis Covid-19 akan terus menghantui kita dalam pelbagai aspek.

Ramai mengharapkan ekonomi global akan kembali pulih dalam bentuk “V”, di mana kejatuhan ekonomi berlaku ketika semua orang diperintahkan untuk tidak keluar dari rumah, dan apabila mereka dibenarkan untuk keluar rumah semula, ekonomi akan terus melonjak naik.

Namun realitinya, bagi pendapat penulis, ekonomi akan pulih dalam bentuk “W”, di mana selepas PKP berakhir, ekonomi akan pulih untuk sementara, namun akan jatuh kembali kerana bebanan hutang yang tertangguh kembali menghantui mereka, dan meningkat semula selepas ekonomi dapat berjalan seperti sedia kala.


AMIR JALAL merupakan pegawai penyelidik di EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.