Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Air tercemar dan lombong haram: Kelantan serah ke polis

Kerajaan Kelantan menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia menyiasat dakwaan ada sekumpulan orang menjalankan aktiviti pelombongan haram di negeri itu ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) masih berkuat kuasa.

Timbalan Menteri Besar, Mohd Amar Abdullah, berkata ketika ini tiada mana-mana syarikat perlombongan dibenarkan beroperasi walaupun ada beberapa pihak mengemukakan permohonan kepada kerajaan negeri.

Kata Mohd Amar juga kerajaan negeri tidak menerima sebarang maklumat mengenai kegiatan perlombongan haram disyaki membabitkan puluhan warga asing itu.

"Namun kita serahkan kepada polis untuk sebarang tindakan," katanya ketika ditemui media di kediamannya di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan wujudnya lombong haram yang masih beroperasi di Kampung Lawang, Tanah Merah.

Terdahulu, isu perlombongan itu mendapat perhatian selepas penduduk kampung mendakwa air sungai di kawasan mereka tercemar dan kemudian mendapati ada kira-kira 30 orang yang dipercayai warga asing melakukan aktiviti perlombongan.

Mohd Amar berkata kegiatan terbabit - jika benar berlaku - bukan saja menyalahi undang-undang kerana tidak berlesen, malah berlaku semasa PKP dikuatkuasakan.

Beliau yang juga naib presiden PAS berkata, ketika ini hanya polis saja yang boleh bertindak kerana penguat kuasa pejabat tanah dan galian (PTG) terikat dengan PKP.