Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Menanti ulama menamatkan kebencian tak bertebing pada Rohingya

Pada 4 Dis 2016, Abdul Hadi Awang, menegaskan bahawa krisis kemanusiaan terhadap etnik Rohingya di Myanmar perlukan campur tangan Malaysia dan semua anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan - berlebihan lagi - Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Seruan presiden PAS dilontarkan ketika beliau dan pimpinan partinya sepentas dengan ketua parti pemerintah ketika itu, Najib Razak, pada perhimpunan Solidariti Ummah Untuk Rohingya di Stadium Titiwangsa.

Tambah Abdul Hadi lagi, Islam mendahului semua ideologi lain dalam mempertahankan hak asasi manusia.

Kemuncak penegasan beliau ialah: "Jangan hari ini manusia menghormati hak kebinatangan, hak menjaga hidupan liar lebih penting daripada menjaga manusia yang dibunuh dan diseksa." Ia dicatatkan begitu oleh BH Online pada hari berkenaan.

Mesej perhimpunan itu tidak terhenti di situ sahaja. Pelbagai pihak menyahutnya dengan turut mengeluarkan kenyataan rasmi masing-masing bagi menggesa dunia agar tidak berdiam saja, sebaliknya bersatu membela nasib dan masa depan suatu bangsa yang tiada kerakyatan dan tiada tanah air.

Setidak-tidaknya, hak tanah mereka sejak sekian lama dinafikan rejim Myanmar.

Seorang tokoh agama yang memiliki pengaruh besar dalam negara, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, yang juga merupakan mufti Perlis tidak ketinggalan membuat penegasan yang sama pada 2017.

Kritik PBB, kecam Myanmar

Antara apa yang pernah beliau coretkan dalam akaun Facebooknya: "Tunjukkanlah semangat persaudaraan dan simpati kita kepada saudara-saudara kita yang sedang dibunuh dengan rakusnya. Hulurkan bantuan dengan kadar yang mampu. Gambarkan kepada dunia betapa umat mencintai keamanan."

Lebih menarik dan membanggakan, seruan demi seruan itu turut disahut kerajaan Malaysia. Negara ini bertindak dengan baik apabila menerima kedatangan pelarian Rohingya untuk diurus dan dibantu sebelum mereka dihantar ke negara ketiga.

Jumlah mereka dipercayai mencecah 100,000 orang sehingga hari ini.

Pada Sept 2019 - sebagai kemuncak kepada penglibatan Malaysia dalam krisis itu - Dr Mahathir Mohamad (yang menjadi perdana menteri ketika itu) mengkritik keras PBB dan Myanmar dalam Perhimpunan Agung PBB ke-74.

Kritikan itu dibuat kerana bagi Malaysia, PBB gagal menangani pembunuhan etnik Rohingya dan seperti bisu lagi pekak tanpa melakukan apa-apa tindakan yang wajar.

Dilaporkan ratusan ribu etnik tersebut telah dibunuh, wanitanya diperkosa dan harta benda mereka dimusnahkan. Ia menyebabkan mereka tiada pilihan selain mencari tanah baru bagi meneruskan hidup.

Selain Malaysia, mereka memilih Bangladesh, Indonesia dan beberapa negara lain lagi sebagai tempat tinggal sementara.

Namun, semua itu rupa-rupanya belum mampu menarik minat sebahagian warga masyarakat negara ini untuk turut sama membantu, menghulurkan simpati dan empati apabila mereka menunjukkan sikap sebaliknya terhadap etnik Rohingya ini.

Ironinya, kebanyakan mereka adalah warga Melayu beragama Islam.

Memang ada timbulkan masalah

Ia bermula dengan penolakan kerajaan Malaysia terhadap kehadiran sebuah bot yang membawa sekitar 200 pelarian Rohingya pada 17 April lalu, iaitu ketika negara melaksanakan sekatan kemasukan kepada pendatang asing memasuki negara ini, baik melalui laluan sah atau laluan 'tikus' bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Insiden itu menimbulkan perdebatan yang panas dan tegang di media sosial. Ia melibatkan kumpulan yang mendesak supaya mereka diberi bantuan penempatan sementara di Malaysia sebelum ke negara ketiga, dan kumpulan yang menolak secara total dengan pelbagai alasan.

Kumpulan pertama mungkin terdiri daripada mereka yang bersama dengan kempen-kempen solidariti ummah sejak 2016, manakala kumpulan kedua terbentuk daripada pengalaman dan pembacaan mereka terhadap beberapa sikap dan tindakan negatif pendatang Rohingya di sini.

Sukar untuk ditolak fakta bahawa terdapat pendatang yang menimbulkan masalah sehingga menimbulkan kemarahan dan kebencian kita, namun tidak wajar mereka dihukum secara pukul rata.

Jika diteliti, pendatang asing dari kawasan berdekatan Teluk Benggala yang berada di negara ini terdiri daripada etnik Rohingya, Muslim Myanmar dan Bengali Bangladesh.

Menurut Dr Azlinariah Abdullah, pengkaji sosiologi dan kebudayaan Universiti Malaya, kebanyakan peniaga di Pasar Borong Selayang adalah Muslim Myanmar, bukan etnik Rohingya.

Mereka memiliki pasport yang sah dan mudah berniaga dengan membawa masuk barangan dari negara mereka untuk diniagakan di situ.

Netizen kerap merujuk kepada insiden-insiden yang berlaku di Pasar Borong Selayang sebagai salah satu rujukan untuk mereka membina naratif terhadap pelarian Rohingya.

Ya, orang-orang Rohingya memang ada bekerja di sana tetapi sebagai pekerja atau buruh bawahan.

Didik anak-anak hafal al-Quran

Apakah kesemua pelarian Rohingya di negara ini bersikap negatif, meminta-minta, enggan berusaha dan kurang bertamadun serta berakhlak? Sudah tentu tidak.

Di negara ini, terdapat sebuah pertubuhan bernama Majlis Ulama Rohingya yang menjalankan pelbagai aktiviti pendidikan dan kebajikan khusus untuk etnik Rohingya di negara ini.

Selain menghulurkan bantuan-bantuan berupa makanan dan seumpamanya, pertubuhan ini turut mewujudkan sebuah maahad tahfiz di Klang bagi mendidik anak-anak etnik mempelajari dan menghafal al-Quran.

Subhanallah, mereka benar-benar berobjektif dalam melihat masa depan mereka untuk terus hidup sebagai bangsa yang bermaruah dan berakhlak. Saya percaya, banyak lagi aktiviti-aktivi yang bermanfaat dan boleh dikira sebagai tanda memulangkan semula jasa-jasa mulia negara dan rakyat Malaysia terhadap mereka.

Kemarahan netizen terhadap mereka harus dihentikan serta-merta. Walaupun ada yang berpengalaman pahit berkaitan orang Rohingya ini, kebencian bukanlah caranya untuk menyelesai masalah dan mendidik mereka yang rata-ratanya tidak menerima didikan rasmi secara sempurna, tatkala kita sendiri tahu bagaimanakah hidup mereka sebagai pelarian.

Seruan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad agar masalah Rohingya ini diselesaikan secara bijaksana adalah tepat pada masanya, walaupun sebahagian warga media sosial melihatnya agak terlewat.

Malaysia perlu menyeimbangkan di antara keperluan mengekang wabak Covid-19 dan menghulur bantuan kepada pelarian yang terdampar di perairan negara berdekatan Langkawi.

Melihat populariti Zulkifli ketika ini - malah memiliki portfolio yang dekat dengan kepentingan Rohingya sebagai sebahagian daripada umat Islam yang dizalimi - apakah seruan sedemikian memadai untuk menyuntik kesedaran kepada kerajaan yang beliau adalah salah seorang anggotanya?

Putrajaya bukan saja perlu mengambil langkah proaktif bagi menguruskan isu Rohingya, tetapi juga menunjukkan kemampuan mereka menguruskan kemarahan dan kebencian rakyat terhadap etnik terbabit.

Seorang pemimpin muda pembangkang, Nik Abdul Razak Nik Md Ridzuan, meluahkan rasa hatinya di dinding Facebook yang disiarkan kepada umum sebagai: "Kenyataan ringkas dan play safe (jalan selamat) menteri agama semalam sememangnya amat mengecewakan. Tiada langsung ditegur akhlak jelik golongan pembenci (terhadap etnik Rohingya) dan xenophobic ini. Tiada."

Seru lebih bertimbang rasa 

Saya percaya bahawa kita memerlukan lebih banyak kenyataan bersifat dakwah dan rahmah dari lidah para pemimpin negara ini sama ada dari lapangan agama mahupun tidak.

Kerana memang itulah yang sedang sangat kita perlukan sekarang.

Misalnya Abdul Hadi selaku duta khas perdana menteri yang bertaraf menteri. Beliau boleh mengeluarkan kenyataan menyeru negara-negara sahabat di rantau Asia Barat seperti Turki, Arab Saudi, Mesir dan Iran agar terus cakna terhadap nasib malang pelarian Rohingya.

Ambillah kesempatan untuk menyelitkan mesej untuk rakyat Malaysia - khususnya umat Islam - lebih menghayati Ramadan dengan melebarkan sifat rahmah dan empati kepada sahabat seakidah yang melarikan diri demi menyelamatkan nyawa masing-masing itu.

Sudah tentu seruan sebagai pembangkang pada tiga tahun lalu berbeza dengan desakan hari ini. Abdul Hadi adalah pemimpin negara yang berkedudukan dan berkuasa. Insya-Allah pemimpin dan rakyat akan mendengarnya.

Tokoh lain ialah Mohd Asri sendiri. Walaupun beliau hanyalah seorang mufti di sebuah negeri, tetapi pengaruhnya di ruang media sosial merentasi Perlis malah penglibatannya dalam isu-isu ummah dan Islam sejak beberapa tahun lalu dilihat sebagai salah satu ikon perpaduan dan penyatuan.

Suaranya untuk membela Rohingya dan menyeru kerajaan lebih bertimbang rasa dinantikan masyarakat perihatin.

Ramadan adalah masa untuk kita belajar merasai kesusahan orang lain. Jika kita kaya, rasai keperitan orang-orang miskin. Jika kita miskin, rasai kepedihan pendatang.

Jika kita pendatang, rasai penderitaan mereka yang telah kematian suami atau isteri dirogol atau ahli keluarga dibakar hidup-hidup. Apakah ada bulan lebih mulia untuk kita nantikan bagi bersatu menunjukkan kesatuan ummah dan perpaduan atas nama akidah ini?

Saya percaya, gabungan suara menteri agama yang lebih tegas, mutiara kata duta khas bertaraf menteri yang fokus dan cakna serta bait-bait kebijaksanaan mufti Perlis dapat menamatkan kebencian melepasi batasan wajar ini.


OMAR MOHAMED ialah pembaca Malaysiakini dan pemerhati politik yang sepanjang tempoh PKP bergelut menjiwai kesusahan lebih teruk dialami orang lain.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.