Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kerajaan pastikan PKS mampu bertahan

Kerajaan akan memastikan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terus cekal dan mampan dalam menghadapi tekanan serta cabaran ekonomi yang melanda negara ketika ini, terutama masalah aliran tunai ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ini berikutan PKS adalah tunjang utama ekonomi Malaysia yang menyumbang lebih dua pertiga daripada jumlah pekerjaan di negara ini, di samping hampir 40 peratus kepada ekonomi.

Justeru, beliau berkata kerajaan komited membantu meringankan beban kewangan yang dialami PKS pada masa ini selain memastikan mereka mendapat manfaat sepenuhnya daripada semua bantuan yang diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) serta pakej tambahan PKS sebanyak RM10 bilion baru-baru ini.

"Itu penting kerana ekonomi kita sebahagian besarnya bergantung kepada kegiatan PKS melibatkan jumlah tenaga kerja yang besar, saya fikir hampir 70 peratus daripada jumlah tenaga kerja datang daripada sektor PKS yang menjana pendapatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang besar iaitu lebih 35 peratus," katanya dalam temu bual khas yang disiarkan di RTM, Astro Awani, TV3 dan Bernama TV.

Terdahulu, kerajaan telah mengumumkan pelan penyelamat COVID-19 bernilai RM250 bilion dalam Pakej PRIHATIN yang antara lain memperuntukkan RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk PKS. Manakala hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat dan RM2 bilion untuk memperkukuh ekonomi negara.

Dalam temu bual selama 45 minit itu, Muhyiddin turut menjelaskan kerajaan komited membantu meringankan beban kewangan yang dialami PKS selain memastikan mereka mendapat manfaat sepenuhnya daripada semua bantuan yang diumumkan dalam langkah tambahan PRIHATIN.

Dalam pada itu, mengulas mengenai cabaran paling besar yang dihadapi kerajaan sepanjang tiga fasa kritikal PKP, ujar Muhyiddin, soal kesihatan adalah perkara utama yang diberi perhatian dalam usaha memastikan rakyat Malaysia kekal selamat.

Menyifatkan ia sebagai cabaran 'luar biasa' selain mengetahui ia bukanlah suatu langkah yang mudah berikutan rakyat negara ini tidak pernah dikekang pergerakan, beliau menjelaskan, segala langkah yang diambil kerajaan adalah bagi mengawal penularan wabak ini.

"Bagi saya, satu kematian adalah satu kerugian besar kepada negara. Sebab itulah, tindakan yang kita ambil adalah melibatkan soal awam umumnya bagi mengawal wabak ini agar tidak berjangkit.

"Atas sebab itulah kita mengenakan sekatan PKP bagi memastikan seperti tiada sebarang perhimpunan, persekolahan, industri juga berhenti sementara dan tinggal di rumah. Ia sangat luar biasa tapi saya rasa ini membantu langkah yang kita sedang ambil bagi menangani perkara itu," katanya.

Muhyiddin turut menarik perhatian bahawa sejak beliau menjawat jawatan Perdana Menteri, soal politik tidak sempat difikirkan dan percaya rakyat lebih berminat untuk mengetahui kerja-kerja yang dilakukan kerajaan bagi menangani masalah negara demi kepentingan negara.

"Nanti orang kata soal COVID-19 belum selesai, dia (Muhyiddin) cerita pasal parti dia, soal gabungan dia, kerajaan dia, keabsahan dia. Yang ini rakyat tidak berminat dan mereka faham akan itu. Sebab itu akan sampai masanya yang agak sesuai dan perlu diperjelaskan, barulah kita akan perjelaskan

"Bagi saya ini amanah, ini tanggungjawab yang rakyat nak melihat kita berfungsi," tambahnya.

- Bernama