Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Polis panggil Ebit namun tiada kertas siasatan dibuka

Pihak polis memanggil pendakwah bebas, Ebit Lew berhubung kontroversi yang timbul daripada kerja amal yang dilakukan semasa perintah kawalan pergerakan (PKP).

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Huzir Mohamed, Lew dipanggil pihak cawangan khas Bukit Aman beriutan reaksi orang ramai berkenaan tindakannya memaparkan aktiviti kebajikan di media sosial dan media massa.

“Berdasarkan pemerhatian, ramai di kalangan masyarakat yang memberi respons positif dan menyokong aktiviti kebajikan yang dilaksanakan.

“Namun, terdapat juga sebahagian yang dilihat kurang senang dengan tindakan mempamerkan aktiviti-aktiviti tersebut di media sosial kerana dilihat seperti mahu menunjuk-nunjuk.

"Kontroversi yang tercetus berkaitan perkara ini telah memaksa pihak polis untuk mengambil tindakan yang sewajarnya bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan masyarakat kekal terpelihara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Huzir, polis tidak pernah menghalang Lew menyampaikan sumbangan kebajikan dalam tempoh PKP, malah memaklumkan pendakwah itu diberikan kebenaran oleh pihak polis untuk berbuat demikian.

"Polis tidak pernah menghalang beliau berbuat demikian selagi beliau mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat,"katanya.

Tambahnya lagi, tiada kertas siasatan yang dibuka ke atas Lew.

"Bagaimanapun, PDRM ingin menegaskan bahawa tiada sesiapa yang boleh dikecualikan daripada tindakan undang-undang ke atas sebarang pelanggaran yang berkaitan pelaksanaan PKP," tegasnya.

Ebit Lew yang memang dikenali sering melakukan kerja amal, ditimpa kontroversi baru-baru ini berhubung bantuan yang diberikan kepada keluarga daif di Derga, Kedah.

Antara lain penduduk setempat menjadi kecaman orang luar yang menyangka mereka tidak mengendahkan keluarga terbabit, selepas video lawatan itu tular di media sosial.

Beberapa pihak - termasuk kerajaan Kedah dan Lembaga Zakat Kedah - kemudian tampil menjelaskan keluarga berkenaan memang menjadi penerima bantuan tetap.

Lew kemudian memaklumkan beliau telah dipanggil polis untuk memberi keterangan berhubung perkara itu.

Beliau juga membuat permohonan maaf atas kontroversi yang tercetus, dan kemudian berkata akan berhenti turun padang menyampaikan bantuan sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP).

Terdahulu, Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir menafikan dakwaan bahawa siasatan polis terhadap pendakwah bebas Ebit Liew berpunca daripada laporan yang dibuat oleh pihaknya.

Malah, Mukhriz juga mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang membuat tuduhan sedemikian, terutama di media sosial.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.