Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Mukhriz nafi dakwaan buat laporan polis terhadap Ebit Lew

Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir menafikan dakwaan bahawa siasatan polis terhadap pendakwah bebas Ebit Liew berpunca daripada laporan yang dibuat oleh pihaknya.

Mukhriz berkata, beliau tidak pernah mengarahkan mana-mana pegawainya untuk berbuat demikian.

“Siasatan dalaman juga mendapati tidak ada pegawai saya, pentadbiran mahupun politik, membuat laporan polis, walaupun atas kapasiti peribadi.

“Pihak saya difahamkan polis bertindak dalam bidang kuasa yang dibenarkan untuk memanggil Ustaz Ebit Lew memberikan apa-apa keterangan yang diperlukan bagi maksud tertentu walaupun tiada laporan difailkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kesal atas dakwaan tersebut, beliau berkata pihaknya sedang menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang membuatnya, terutama di media sosial.

Ebit Lew

Memang dikenali sering melakukan kerja amal sebelum ini, Lew ditimpa kontroversi baru-baru ini berhubung bantuan yang diberikan kepada keluarga daif di Derga, Kedah.

Antara lain penduduk setempat menjadi kecaman orang luar yang menyangka mereka tidak mengendahkan keluarga terbabit, selepas video lawatan itu tular di media sosial.

Beberapa pihak - termasuk kerajaan Kedah dan Lembaga Zakat Kedah - kemudian tampil menjelaskan keluarga berkenaan memang menjadi penerima bantuan tetap.

Lew kemudian memaklumkan beliau telah dipanggil polis untuk memberi keterangan berhubung perkara itu.

Beliau juga membuat permohonan maaf atas kontroversi yang tercetus, dan kemudian berkata akan berhenti turun padang menyampaikan bantuan sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP).

Sementara itu, Mukhriz berkata kerajaan negeri tidak menyekat mana-mana pihak untuk membuat kebajikan, asalkan mematuhi peraturan dan syarat ditetapkan, termasuk di bawah PKP serta panduan penjagaan kesihatan bagi mengelak jangkitan Covid-19.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak, baik persatuan, badan bukan kerajaan, orang perseorangan dan dermawan seperti Ustaz Ebit Lew yang tampil menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan pertolongan di Kedah,” katanya lagi.