Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

MP Rasah terkejut jawapan menteri isu bakul makanan

Ahli Parlimen Rasah Cha Kee Chin meluahkan rasa terkejutnya dengan jawapan Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob yang mengatakan 150 bakul makanan untuk kawasan parlimennya sebenarnya bukan dari kerajaan, sebaliknya merupakan sumbangan NGO.

Kata Cha, penafian Ismail itu bermakna Parlimen Rasah setakat ini masih belum menerima apa-apa bakul makanan daripada kerajaan Perikatan Nasionl (PN), meskipun perintah kawalan pergerakan (PKP) fasa ketiga hampir tiba ke penghujungnya.

Sedangkan, kata Cha, ketika dia meminta kebenaran untuk mengambil 150 bakul makanan tersebut daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Seremban, pegawai terlibat langsung tidak menyebut ia adalah sumbangan NGO.

“Penafian hanya dilakukan oleh kerajaan pusat selepas saya mempertikaikan nilai bakul makanan tersebut.

"Ia jelas menunjukkan kerajaan cuba melepaskan diri daripada ketidakpatuhan terhadap garis panduan dengan menuding jari kepada NGO.

“[...] Walaupun ada sumbangan daripada NGO, namun kerajaan pusat tidak sepatutnya melepaskan diri daripada tanggungjawab asas dalam membantu dan mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.

“Kegagalan kerajaan pusat membekalkan bakul makanan sehingga sekarang amat mengecewakan masyarakat setempat yang wajar dan wajib dibantu segera,” kata Cha dalam satu kenyataan hari ini.

Kelmarin, Cha memberitahu Malaysiakini bahawa pejabatnya ada menerima 150 daripada 1,000 bungkusan makanan Covid-19 oleh kerajaan pusat untuk golongan berpendapatan rendah B40 bagi PKP yang diperuntukkan untuk setiap kawasan parlimen.

Namun, berdasarkan pemeriksaan, bungkusan yang sepatutnya bernilai RM100 setiap bungkus itu, didapati hanyalah bernilai sekitar RM35 sahaja.

Semalam, ketika menjawab soal itu, Ismail menafikan dakwaan berkenaan dan berkata bungkusan berharga RM35 itu sebenarnya adalah daripada sumbangan NGO yang dihantar kepada JKM.

Kata Ismail, dia dimaklumkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun bahawa sumbangan makanan NGO tidak ditetapkan nilainya.

Oleh hal yang demikian, Cha meminta Ismail dan kerajaan PN memberikan jawapan yang jelas, ke mana perginya 1,000 bakul makanan bernilai RM100 setiap bakul seperti yang dijanjikan.

Sedangkan, tambahnya, garis panduan yang diluluskan Kementerian Kewangan bertarikh 27 Mac dengan jelas menyatakan perolehan bakul makanan dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, manakala pejabat ahli Parlimen akan melaksanakan kerja pengagihan dari rumah ke rumah.

“Bilakah 1,000 bakul makanan untuk keluarga B40 di Parlimen Rasah akan dibekalkan untuk diagihkan kepada keluarga yang amat terkesan kehidupan mereka kerana PKP.

“Pengagihan bakul makanan kepada golongan B40 amat mustahak untuk disegerakan kerana golongan ini amat terkesan dengan PKP, di mana ramai di antara mereka adalah kais pagi makan pagi, kais petang makan petang selama ini,” katanya lagi.

Selain itu, Cha turut meluahkan kekesalan dengan kegagalan Rina dan kementeriannya untuk menjawab pertanyaannya tentang nilai bakul makanan tersebut.

“Kegagalan sebegini menimbulkan persoalan apakah terdapat ada udang di sebalik batu?” katanya.

Cha juga turut mempertikaikan sikap kementerian yang dilihat tidak melayan setiap kawasan parlimen secara sama rata kerana kawasan yang diwakili ahli parlimen kerajaan telah lama mengagihkan 1,000 bakul makanan berkenaan.