Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Elak rugi berterusan, pemborong tangguh beli bekalan makanan laut

Keputusan kerajaan untuk menangguhkan pembukaan semula Pasar Borong Kuala Lumpur sebanyak dua kali menyebabkan para pemborong menangguhkan dulu pesanan mereka.

Menurut pemain industri, keadaan ini berisiko menyebabkan kekurangan bekalan makanan laut, dan oleh itu kenaikan harganya, di Lembah Klang.

Menurut Presiden Persatuan Pemborong Ikan Hoi Seong Kuala Lumpur Sing Kian Hock, anggota persatuannya menanggung kerugian besar akibat penangguhan itu.

Sing berkata, pemborong biasanya membuat pesanan tiga hari lebih awal dan penangguhan pembukaan semula itu, yang menurutnya dibuat secara tiba-tiba, bermakna produk mereka perlu dihantar ke tempat lain dengan harga lebih rendah berbanding modal yang dikeluarkan.

Dia menganggarkan pasar borong itu menjadi tempat transit kepada sekurang-kurangnya 70 peratus bekalan manakan laut di Lembah Klang.

Terdahulu, pihak berkuasa meghentikan operasi pasar borong Kuala Lumpur pada 18 April susulan penularan wabak Covid-19 terhadap pekerja di sana.

Pengumuman penangguhan pembukaan semula diumumkan pada Isnin dan Rabu lalu. Pasar borong Kuala Lumpur dijadual dibuka semula esok, tetapi Sing berkata para pemborong kini mengambil langkah berjaga-jaga.

"Ketika kami dimaklumkan berkenaan penangguhan terbaru, bekalan makanan laut sudah pun dalam perjalanan ke pasar.

"Kami merayu kepada kerajaan agar membenarkan kami mengeluarkan atau menjual ikan pada hari Rabu, tetapi tidak berjaya.

"Kami terpaksa menghantar ikan-ikan tersebut ke tempat lain, atau membekukannya dengan segera," katanya, yang menganggarkan jumlah kerugian kira-kira RM10 juta.

"Kebanyakan daripada kami tidak berani membuat pesanan baru. Jika ia dibenarkan beroperasi semula pada Jumaat ini seperti jadual, dijangka makanan laut yang tiba di pasar jauh berkurang (berbanding sebelumnya)," katanya lagi.

Satu lagi masalah yang dihadapi pemborong adalah penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Pusat Bandar Utara, yang bersebelahan dengan pasar tersebut.

Kawasan itu menjadi tempat tinggal ratusan pekerja di pasar - kebanyakannya warga asing.

Sing berkata, walaupun kerajaan hanya membenarkan warga asing yang memiliki dokumen untuk bekerja, ramai yang bekerja di sana secara tidak sah.

Menurutnya, pemborong telah cuba mendaftarkan pekerja mereka tetapi tidak berjaya.

Tanpa pekerja yang cukup untuk mengeluarkan dan memproses makanan laut yang baru tiba, Sing berkata ia akan menyebabkan kekurangan bekalan dalam pasaran yang lebih besar.

"Pasar borong ini menawarkan pelbagai jenis makanan laut dan membekalkan sehingga 70 peratus permintaan inkan di Kuala Lumpur dan Selangor. Bakinya dihantar ke Melaka, Negeri Sembilan dan Perak," katanya lagi.

Menurutnya, beberapa pasr raya, termasuk sebuah rangkaian pasar raya antarabangsa, turut mendapatkan bekalan dari pasar borong itu.

"Bagaimanapun, tanpa bantuan buruh warga asing, saya rasa kebanyakan pemborong akan mengecilkan operasi atau menghentikannya buat sementara waktu.

"Sebelum ini, kita sudah pun mengurangkan jumlah makanan laut sebanyak separuh, memandangkan kebanyakan pasar dan pasar malam perlu menghentikan operasi susulan PKP," katanya lagi.

Sing menjangka ikan beku - yang boleh disimpan sehingga setahun - akan mengambil tempat dalam pasaran, menggantikan ikan segar yang lazimnya hanya boleh disimpan selama lima hari.

Pada masa akan datang, dia berharap kerajaan akan berbincang dengan persatuan pemborong berhubung isu penutupan pasar dan tidak membuat langkah drastik yang memberi kesan kepada mereka.

Pasar Borong Kuala Lumpur memiliki sejumlah 168 kedai makanan laut, 216 kedai sayuran dan 64 kedai buah-buahan.

Sebelum ini persatuan pemborong memberitahu Malaysiakini bahawa jumlah makanan laut dan ikan telah berkurang sebanyak lebih 60 peratus, sejak PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.