Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Dua wanita Mongolia dakwa dirogol saman inspektor, hotel di PJ

Dua wanita Mongolia hari ini telah memfailkan saman terhadap seorang inspektor polis dan sebuah hotel di Petaling Jaya berkaitan dakwaan wanita berkenaan telah dirogol oleh anggota polis tersebut.

Tindakan saman tersebut difailkan oleh firma undang-undang Thomas Philip di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, dan menamakan pegawai polis dan sebuah hotel sebagai defendan.

Mengesahkan saman hari ini, peguam kedua wanita berkenaan, Mathew Thomas Philip berkata anak guamnya menuntut ganti rugi khas, umum, hukuman dan teladan serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Dalam satu kenyataan, peguam itu berkata kedua-dua wanita itu juga memohon relif kehakiman daripada pemilik hotel sebagai "pelaku tort bersama" kerana bertindak atas arahan pegawai polis dan memudahkan tindakannya.

“Ini adalah langkah pertama untuk memohon ganti rugi atas jenayah keji yang dilakukan terhadap anak guam saya. Kami berharap mahkamah dapat mengenal pasti kerosakan yang tidak dapat diperbaiki yang ditanggung oleh anak guam saya dan juga pelanggaran kepercayaan yang dilakukan oleh tertuduh pada ketika darurat nasional,” katanya hari ini.

Menurut Mathew, susulan pembebasan pegawai polis itu dengan ikat jamin yang dilaporkan secara meluas awal minggu ini dan penggantungan tugasnya pada hari ini, firma guaman tersebut telah menulis surat kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah untuk meminta penjelasan mengenai tarikh tuduhan rasmi akan dikenakan terhadap pegawai polis itu .

Beliau berkata, pihak firma guamannya meminta penjelasan kerana polis telah menyelesaikan siasatan mereka dan telah menyerahkan hasil siasatan tersebut kepada pejabat pendakwa raya.

"Konsulat Mongolia meletakkan keyakinan terhadap firma kami untuk membantu warga negara mereka dan kami akan bekerja sekeras yang mungkin untuk memenuhi tanggungjawab ini.

"Walaupun tidak ada yang dapat mengatasi kengerian kejadian itu, apa yang kami akan pastikan, paling tidak pun mangsa akan mendapat pampasan yang sewajarnya,” kata Mathew.

Lindungi mangsa pemerdagangan manusia

Peguam itu juga mendakwa bahawa pihaknya sedang menunggu tuduhan jenayah yang akan dikenakan terhadap anggota polis itu atas tuduhan penahanan salah dan rogol.

Firma undang-undang itu telah menerima taklimat daripada Konsul Kehormat Mongolia minggu lalu untuk membantu dalam proses undang-undang bagi pihak dua warga Mongolia itu dan juga tiga orang warganegara lain yang membuat laporan polis mengenai kejadian berkenaan.

Pada 14 April, Malaysiakini melaporkan bahawa ketiga-tiga wanita Mongolia itu diletakkan di bawah Perintah Perlindungan Sementara (IPO) sebagai sebahagian siasatan terhadap kes yang didakwa sebagai pemerdagangan manusia. 

Dikatakan pihak berkuasa menganggap ketiga-tiga wanita tersebut sebagai mangsa dalam kes pemerdagangan manusia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed (gambar, bawah) berkata tiga wanita yang mendakwa seorang polis atas kesalahan rogol dianggap sebagai mangsa, bukannya suspek.

Mengulas susulan penahanan mereka, beliau berkata ketiga-tiga mereka kini diletakkan di rumah perlindungan untuk keselamatan mereka.

Pada 11 April, polis menahan seorang inspektor polis kerana disyaki merogol wanita berkenaan pada 10 April.

Pegawai polis terbabit ditahan dalam satu sekatan jalan raya perintah kawalan pergerakan (PKP) di Petaling Jaya.

Bagaimanapun pada 14 April, tiga wanita Mongolia yang merupakan kenalan mangsa ditahan di bawah Perintah Perlindungan Interim (IPO) selepas mereka membuat laporan polis berhubung dakwaan rogol berkenaan.

Sementara itu, Anggota Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah dan Adun Kampung Tunku, Lim Yi Wei pada hari ini menggesa Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (Atipsom) diketepikan dalam kes dua wanita Mongolia yang didakwa dibawa kes sebuah hotel dan dirogol seorang inspektor polis.

Mereka menggesa perintah perlindungan di bawah Atipsom diketepikan dan tiga wanita itu perlu dibebaskan.

"Tumpuan harus diberikan kepada siasatan rogol dan mendakwa pelaku tanpa berlengah-lengah.

"Kita juga maklum bahawa Inspektor itu baru-baru ini telah dibebaskan dengan ikat jamin. Jika pelaku yang dikatakan boleh dilepaskan atas jaminan, mangsa dan pemberi maklumat perlu diberi layanan yang sama," kata mereka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor (CID) Fadzil Ahmat mengesahkan kertas siasatan telah dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya di Shah Alam minggu ini.

[Baca berita asal]