Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Penting cegah gelombang baru Covid-19, kata Palang Merah

GLOBAL | Pandemik Covid-19 akan memuncak pada masa berlainan di negara berbeza dan cabaran paling penting bagi setiap negara ketika ini adalah mencegah penularan gelombang kedua, kata Ketua Pengarah Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), Robert Mardini.

"Ia berbeza untuk setiap negara, seperti tsunami yang melanda sesebuah negara pada masa berlainan. Jadi, setiap negara mengalami lengkung jangkitan yang berbeza.

"Anda tahu, China negara yang pertama, dan jumlah orang yang dijangkiti sangat ramai tetapi dengan langkah pencegahan drastik, peraturan duduk di rumah, mereka dapat mengurangkan jumlahnya dan sekarang kehidupan kembali seperti biasa di China.

"Tetapi, sudah tentu, risiko gelombang baru tetap ada, saya rasa pihak berkuasa dan rakyat China menyedari hal ini.

"Cabaran utama ialah untuk mengelak gelombang baru berlaku. Saya rasa, ini menjadi cabaran bagi semua negara," kata Mardini.

Beliau berkata walaupun situasi buruk hampir berlalu di negara Eropah yang paling teruk terjejas, seperti Itali dan Sepanyol, tiada siapa yang dapat menjamin jumlah kes tidak akan bertambah, andai wujud kekurangan dalam langkah pencegahan.

Pada 1 Mac lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik. Sehingga kini, lebih 2.6 juta orang di seluruh dunia telah dijangkiti, dengan lebih 183,000 kematian, menurut Johns Hopkins University.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.