Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Alat bantuan pernafasan Stephen Hawking diderma pada hospital UK

Keluarga ahli fizik terkenal, Stephen Hawking mendermakan alat bantuan pernafasannya kepada sebuah hospital yang pernah merawat beliau di Cambridge, bandar universiti di mana beliau tinggal dan bekerja dahulu.

Sumbangan keluarga Hawking dilakukan sebagai salah satu usaha untuk membantu pesakit wabak Covid-19.

Saintis itu meninggal dunia pada Mac 2018 di usia 76 tahun selepas menghabiskan seumur hidupnya untuk mengkaji asal usul alam semesta.

Hawking didiagnos menghidap penyakit jarang ditemui yang mempengaruhi sel-sel saraf di otak dan sumsum tulang belakang dikenali sebagai Amyotrophic Lateral Sclerosis (ALS) ketika berusia 21 tahun.

“Keluarga Profesor Stephen Hawking telah menderma alat bantuan pernafasannya kepada Royal Papworth Hospital yang merawat bilangan pesakit Covid-19 yang makin meningkat,” kata jurucakap hospital itu pada Rabu.

Anaknya, Lucy Hawking menyifatkan layanan yang diberikan kepada ayahnya oleh pihak hospital sebagai bagus, berdedikasi dan penuh kasih sayang.

“Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada keluarga Hawking kerana memberi sokongan kepada kami pada masa sukar ini,” kata hospital itu, yang turut merupakan pusat pemindahan hati dan paru-paru yang terkenal di dunia.

BBC melaporkan alat bantuan pernafasan itu diberikan sendiri oleh keluarga Hawking ketika laporan mendapati hospital itu mengalami kekurangan peralatan terbabit.

Perdana Menteri Britain, Boris Johnson meminta pertolongan industri untuk membina ribuan alat bantuan pernafasan ekoran daripada kemungkinan kekurangan alat itu untuk merawat pesakit Covid-19.

Penghasilan peralatan baru itu sudah dimulakan dan turut diimport dari luar bagi membantu perkhidmatan kesihatan untuk merawat pesakit yang memerlukan bantuan penafasan.

- Reuters.