Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Jepun lapor 14 lagi kes koronavirus di kapal persiaran Itali

GLOBAL l Empat belas lagi kes jangkitan koronavirus disahkan di kapal persiaran Itali, Costa Atlantica yang berlabuh di daerah Nagasaki untuk dibaiki, kata seorang pegawai tempatan pada Khamis, menjadikan jumlah sekarang sekurang-kurangnya 48 kes.

Separuh daripada mereka adalah tukang masak dan separuh lagi kakitangan lain yang bertugas menyediakan makanan kepada anak kapal, kata pegawai itu pada sidang akhbar yang disiarkan secara langsung.

Jangkitan di kapal persiaran Costa Atlantica berpunca selepas kes yang pernah berlaku di kapal persiaran Diamond Princess dekat Yokohama, pada dua bulan lalu.

Ketika itu, lebih 700 orang didapati dijangkiti wabak itu. Namun, kali ini hanya anak kapal sahaja yang berada atas kapal Costa Atlantica.

Kapal persiaran Itali itu membawa 623 anak kapal dan tiada penumpang. Perkara itu disahkan oleh seorang pegawai rasmi.

Kapal yang dikendalikan oleh Costa Cruises itu dibawa ke dermaga di kota Nagasaki di barat Jepun pada akhir Februari lalu oleh Mitsubishi Heavy Industries. Namun setelah pandemik Covid-19 menular, rancangannya untuk dibaiki di China terbatal.

Kes terbaru itu menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan akibatnya terhadap penduduk Nagasaki setelah ada pendedahan bahawa beberapa anak kapal telah meninggalkan kawasan larangan tersebut walaupun terdapat jaminan dari pengusaha kapal bahawa mereka akan tetap berada di dalam dermaga, kata pegawai Nagasaki.

Menurut pihak berkuasa, mereka berharap dapat menjalankan ujian saringan ke atas semua di atas kapal berkenaan. Katanya, mereka yang didapati positif dalam kalangan tanpa gejala akan terus diletakkan di bawah pemantau.

"Yang lain pula dipindahkan ke pusat perubatan," katanya.

- Reuters

[Baca berita penuh]