Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Lebih banyak negeri AS rancang untuk dibuka semula

GLOBAL l Lebih banyak negeri di selatan dan barat-daya Amerika Syarikat (AS) memberi isyarat kesediaan untuk membuka semula ekonomi masing-masing dengan harapan wabak koronavirus paling buruk berlalu.

Walau bagaimanapun gabenor California berpegang teguh dengan perintah tinggal di rumah dan arahan penutupan perniagaan.

Ini bermakna di kalangan 50 negeri AS itu, ada rakyat yang masih berkurung di rumah mereka, tidak dapat bekerja, manakala yang lain mula keluar rumah untuk pertama kalinya dalam beberapa minggu.

"Saya harap saya dapat nyatakan tarikh khusus untuk memberitahu bila kita dapat hidup secara normal semula," kata Gabenor California, Gavin Newsom, seorang Demokrat, dalam kenyataan hariannya kepada negeri yang paling ramai penduduk mengenai krisis koronavirus.

"Kami telah menjelaskan bahawa tidak ada suis lampu dan tidak ada tarikh berhubung kemampuan kami untuk memberi penjelasan yang saya tahu bahawa kebanyakan anda tuntut dan berhak mendaptkannya," kata Newsom.

Gabenor itu berkata bahawa antara langkah yang perlu diambil oleh para anggota kesihatan sebelum 40 juta rakyat California boleh kembali bekerja, ke sekolah dan pusat membeli-belah adalah meningkatkan ujian saringan virus itu kepada 25,000 orang sehari.

Menurut Newsom, Presiden AS Donald Trump, seorang Republikan, telah memberi komitmen untuk menghantar 100,000 peralatan ujian minggu depan dan 250,000 lagi pada minggu berikutnya.

Jumlah kematian akibat koronavirus di AS setakat Rabu lalu berjumlah 47,050 iaitu naik sekitar 1,800, dengan beberapa negeri belum melaporkan angka terbaru mereka. AS mempunyai jumlah kes positif terbesar di dunia dengan lebih 830,000 orang telah dijangkiti.

[Baca berita penuh]