Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Bung akui Umno Sabah terkilan tiada tempat dalam kabinet, GLC

Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin mengakui wujud rasa tidak puas hati dalam parti di negeri itu terhadap kerajaan persekutuan berikutan tidak mendapat tempat dalam barisan kabinet.

"Umno Sabah sehingga hari ini masih stabil. Walaupun ada orang kata ada sedikit gelombang sejak penubuhan PN (Perikatan Nasional).

"Sebab gelombang ini wujud kerana pemimpin-pemimpin Umno di Sabah rasa terkilan apabila tidak seorang pun di kalangan dua wakil rakyat terpilih dalam barisan kabinet kerajaan PN.

"Demikian juga GLC (syarikat berkaitan kerajaan), Umno Sabah tercicir. Ada di antara pemimpin kita marah dengan PM," katanya dalam wawancara khas anjuran Penerangan Umno Malaysia malam ini.

Program yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook itu dikendalikan oleh Dr Noor Azizan Abdul Majid sebagai moderator.

Menurut Bung, beliau akan berjumpa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menjelaskan pendirian Sabah yang melihat berlaku ketidakadilan dalam agihan jawatan.

"Sebab kita bukan marah, tetapi kita nak bagi keseimbangan untuk berhadapan dalam PRU15," katanya.

Pada 17 April lalu, tersebar sepucuk surat ditandatangani Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menuntut agar beberapa pemimpin parti itu dari Sabah diberi jawatan dalam kerajaan Muhyiddin Yassin.


Baca: Zahid tuntut Muhyiddin lantik 4 pemimpin Umno Sabah


Surat itu antara lain meminta Bung Moktar dilantik sebagai pengerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah.

Meskipun sesetengah pihak menganggap surat Zahid itu adalah amalan yang lazim, ada yang beranggapan ia sebagai campur tangan, malah pembulian terhadap Muhyiddin.

Sabah kini ditadbir oleh Warisan yang menyokong Pakatan Harapan (PH).

'Warisan tiada pengalaman tangani Covid-19'

Sementara itu, menjawab satu soalan berhubung prestasi kerajaan negeri Sabah dalam menangani Covid-19, Bung berkata terdapat beberapa kelemahan dari sudut penyelarasan.

"Memang ada komitmen yang tinggi daripada kerajaan Warisan negeri Sabah membantu dan menangani covid-19.

Bagaimanapun , katanya seluruh dunia sedang menghadapi krisis ini dan Warisan tidak mempunyai pengalaman menanganinya.

"Mungkin niat itu baik, (Tapi) penyelarasan dan penyampaian tidak baik.

"Saya juga lihat bahawa banyak kelemahan di samping hasrat membantu itu. Mungkin kurang ikhlas dan tidak telus di peringkat bawahan.

"Tetapi tidak juga boleh menyalahkan Kerajaan Warisan kerana tidak ada pengalaman menangani krisis Covid-19," kata Ahli Parlimen Kinabatangan itu.