Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kit ujian pantas dari Korea dijangka tiba minggu depan

Kementerian Kesihatan (KKM) menjangka akan menerima kit ujian pantas pengesanan antigen dari Korea Selatan seawal hujung minggu ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata pesanan itu pada mulanya dijangka tiba pada Jumaat tetapi ditangguhkan ke hujung minggu atau minggu depan, selepas kejayaan rundingan antara kerajaan yang dibantu oleh Wisma Putra dalam menyelesaikan isu-isu logistik berikutan permintaan yang tinggi.

Noor Hisham menjelaskan kit ujian pantas itu akan digunakan untuk melengkapkan ujian PCR (polymerase chain reaction) sedia ada yang perlu dihantar ke mana-mana salah satu daripada 43 makmal sebelum keputusan boleh diperolehi.

"Kita berharap bila kita dapat, pertama kelebihannya adalah ia mempunyai masa pusing balik (turnaround time) yang cepat.

"Kedua anda boleh lakukan ujian di tempat rawatan, dengan syarat kita mempunyai kabinet biokeselamatan. Itulah bagaimana kita boleh melengkapkan ujian PCR," kata Noor Hisham semasa sidang akhbar harian kementerian itu di Putrajaya.

Noor Hisham berkata terdapat rancangan untuk memasang kabinet biokeselamatan di dua lapangan terbang utama - KLIA dan KLIA2 - bagi menjalankan ujian ke atas penumpang semasa ketibaan mereka.

"Kita boleh mendapat keputusan dalam tempoh 30 hingga 45 minit. Kita juga boleh melakukannya untuk penumpang transit.

"Lakukan ujian swab, tunggu selama 30-45 minit untuk mendapat keputusan. Pada satu masa kita boleh lakukan 15 ujian jika kita menggunakan kit ujian pengesanan antigen ini," jelasnya.

Kabinet biokeselamatan adalah makmal dengan ruang kerja yang tertutup tetapi selamat daripada bahan-bahan yang tercemar dengan patogen.

Noor Hisham berkata kementerian itu juga meneliti rancangan memperkenalkan kabinet biokeselamatan bergerak yang boleh digunakan di kawasan yang diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

"Kita boleh adakan makmal bergerak kita di sana, supaya boleh lakukan diagnosis dengan menggunakan kit ujian pantas ini," katanya.

Noor Hisham juga mengulangi bahawa KKM telah mengambil pendekatan untuk melakukan ujian Covid-19 terhadap kumpulan sasaran, termasuk pekerja asing atau mereka yang berada di kawasan PKPD.

"Malah di Korea Selatan mereka tidak menyaring setiap rakyat tetapi sebaliknya mengambil pendekatan melakukan ujian kepada kumpulan sasaran," katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.