'Apalah salahnya jika VIP langgar PKP tawar diri bayar denda'
Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail berkata layanan undang-undang yang berbeza terhadap pelaku kesalahan semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) jelas menunjukkan berlaku ketidakadilan.
Katanya, perkara itu boleh menghakis kepercayaan orang ramai terhadap integriti pihak berkuasa dan kerajaan.
"Denda yang dikenakan kepada rakyat sebanyak RM1000 atau penjara amatlah berat dalam keadaan ekonomi menjerut leher rakyat bawahan.
"Lebih buruk lagi apabila layanan kepada pesalah dibezakan dengan jurang yang amat ketara," kata Azan dalam satu kenyataan media.
Baru-baru ini Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Noor Azmi Ghazali dan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria menjadi sasaran kritikan orang ramai apabila dilihat melanggar PKP dalam satu program di Maahd Tahfiz di Lenggong Perak.
Polis Perak mendakwa VIP terbabit serta rombongan mereka telah menjaga jarak masing-masing ketika majlis tersebut.
Noor Azmi dan Razman kemudian memohon maaf atas kehadiran mereka dalam majlis berkenaan dan kedua-duanya telah memberikan keterangan kepada polis.
Turut dikaitkan dengan perbuatan melanggar PKP ialah Menteri Besar Terengganu yang juga Naib Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar apabila berkunjung ke kediaman bekas menteri besar Terengganu, Ahmad Said.
Selain itu, Anggota Parlimen Lipis merangkap Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Abdul Rahman Mohamad dilihat menikmati jamuan tengah hari bersama rombongannya di sebuah rumah rakannya.
Namun Abdul Rahman berkata gambar yang ditularkan di media sosial itu disalah tafsir warganet dan menafikan ia adalah majlis sambutan hari lahir.
Mengulas lanjut, Azan berkata untuk meredakan rasa marah terhadap ketidakadilan undang-undang, VIP terbabit sepatutnya menawarkan diri untuk membayar denda berbanding hanya memohon maaf.
"Untuk meredakan rasa marah dan benci terhadap ketidakadilan layanan undang-undang itu, apalah salahnya VIP-VIP tersebut menawarkan diri untuk turut membayar denda dan mengaku selain hanya memohon maaf.
"Jika alasan tidak mampu membayar atau terlalu takut dan risau kehabisan duit atau terpaksa meminjam wang, maka atas dasar sepatutnya semua rakyat dilayan sama rata," katanya.
Azan secara menyindir berkata, pihaknya juga tidak keberatan untuk berusaha mencari sumber kewangan bagi membantu VIP-VIP tersebut.
"Malah saya yakin masyarakat Malaysia yang secara umum pemurah dan saling menyayangi akan turut sama membantu.
"Asalkan mereka tahu dan dapat pastikan layanan undang-undang di dalam negara ini dijamin adil dan sama rata di kalangan rakyat tanpa mengira darjat," kata Azan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai