Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Penganjur bertegas tak dapat pulangkan bayaran penuh peniaga bazar

Penganjur bazar Ramadan di Wilayah Persekutuan menegaskan bahawa mereka tidak dapat memulangkan 100 peratus bayaran yang telah dibayar kepada peniaga.

Menurut Setiausaha Persatuan Penjaja-Penjaja Dan Peniaga-Peniaga Kecil Melayu, Wilayah Persekutuan (PPKMWP) Mohamed Zamri Mohammed, penganjur hanya boleh memulangkan 80 peratus daripada bayaran pada 1 Mei ini.

Baki 20 peratus lagi, kata Mohamed Zamri, akan ditolak kos pengurusan yang telah dilakukan.

“Kalau beri 100 peratus, maknanya penganjur perlu cari duit untuk ganti sebab duit itu dah dibelanjakan,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Beliau menjelaskan kos pengurusan itu antaranya meliputi kos deposit pemasangan khemah, kerja pembersihan dan penyediaan apron untuk penjaja bagi sesetengah kawasan.

Malaysiakini difahamkan terdapat empat lagi penganjur induk bazar selain PPKMWP. 

Mohamed Zamri Mohammed

Mereka ialah Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPKBWPKL), Pertubuhan Pengurusan Pasar Malam Kuala Lumpur (PMKL), Persatuan Penjaja-Penjaja Dan Pekedai Bumiputera Wilayah Persekutuan (PPBWP) dan Badan Pengurusan Kampung Baru.

Semalam, Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob menggesa penganjur bazar Ramadan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya memulangkan kembali bayaran deposit peniaga.

Menteri kanan itu mengingatkan supaya tidak ada pihak mengambil kesempatan terhadap kesulitan ketika wabak Covid-19 dan meminta penganjur mencontohi Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) yang memulangkan semula deposit setelah kerajaan memutuskan tiada bazar tahun ini.

Zamri berkata, perkara tersebut bukanlah isu besar tetapi ia sengaja diperbesarkan oleh beberapa orang penjaja sehingga dibawa ke perhatian menteri.

Katanya, kos sewa tapak bazar Ramadan tersebut sekitar RM350 hingga RM500 dan bukan RM2,000 seperti yang dimaklumkan oleh peniaga sebelum ini.

“Pada masa yang sama, penjaja kena faham perbelanjaan kita itu siapa nak tanggung, kecuali bandar raya (DBKL) kata batal dan ganti balik perbelanjaan kita.

“(Tapi) sekarang ini bandar raya pun tak nak ganti. Kita seorang nak kena tanggung,” katanya.

Pada 13 April lalu, kerajaan memutuskan untuk tidak membenarkan bazar Ramadan beroperasi di seluruh negara sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Perkara itu dimaklumkan Ismail pada sidang media harian yang menyifatkan keputusan itu dibuat bagi meneruskan usaha membendung penularan wabak Covid-19.

Susulan itu peniaga bazar Ramadan menuntut supaya bayaran deposit mereka dipulangkan.