Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

MP Batu dapat jemputan jumpa JKM bincang agihan bantuan

Ahli Parlimen Batu P Prabakaran hari ini menerima surat jemputan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menghadiri perbincangan berkenaan dengan agihan bantuan sumbangan kepada penduduk di Taman Seri Murni, Kuala Lumpur.

Ini susulan wakil rakyat PKR itu yang semalam menuduh beberapa penduduk di kawasannya belum menerima sebarang bantuan makanan.

“Baru sebentar tadi, saya telah menerima surat jemputan daripada pihak JKM untuk menghadiri perbincangan berkenaan dengan agihan bantuan sumbangan kepada penduduk di Taman Seri Murni.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak JKM kerana menjemput saya selaku wakil rakyat di kawasan tersebut untuk berbincang hal-hal bantuan walaupun ini hari ketiga.

“Dalam mesyuarat tersebut, saya akan bangkitkan isu-isu seperti makanan yang tidak dicukupi oleh penduduk Seri Murni, pesakit-pesakit kritikal yang memerlukan bantuan perubatan segera dan bantuan makanan JKM yang tidak sampai ke Fasa 1 dan 2 sehingga sekarang,” kata Prabakaran dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Taman Seri Murni adalah salah satu daripada beberapa kawasan perumahan di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang yang diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan dipertingkatkan (PKPD).

Di bawah penutupan 14 hari bermula Isnin itu, penduduk tidak dibenarkan meninggalkan kediaman mereka, termasuk untuk membeli makanan.

Malaysiakini difahamkan bahawa perjumpaan itu dijadualkan berlangsung pada sebelah petang ini.

Prabakaran selanjutnya meminta penduduk di sana untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Awal hari ini, Datuk Bandar Kuala Lumpur Nor Hisham Dahlan memberi jaminan bahawa kerajaan akan menyediakan makanan kepada 16,000 penduduk yang terjejas di sekitar pasar berkenaan.

Selain Prabarakan, Persatuan Pemborong Sayur Kuala Lumpur juga telah mendakwa bahawa mereka yang tinggal di bawah arahan PKPD itu di situ masih belum menerima bantuan makanan yang dijanjikan oleh pihak berkuasa.