Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

‘Gelombang kedua Covid-19 mungkin lebih buruk’

GLOBAL l Gelombang kedua koronavirus yang dijangka melanda Amerika Syarikat pada musim sejuk akan datang dipercayai akan menyerang dengan lebih keras berbanding yang pertama kerana kemungkinan akan tiba pada awal musim influenza, kata pengarah Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit (CDC) negara itu pada Selasa.

"Ada kemungkinan serangan virus ke atas negara kita pada musim sejuk nanti akan lebih sukar daripada apa yang baru saja kita lalui," kata Pengarah CDC Robert Redfield kepada Washington Post dalam satu wawancara.

Ketika kesan wabak semasa dilaporkan semakin berkurangan, seperti yang ditunjukkan oleh penurunan kadar kemasukan ke hospital baru-baru ini dan petunjuk lain, pihak berkuasa perlu mempersiapkan kemungkinan ia timbul semula pada bulan-bulan mendatang.

"Kami akan alami epidemik selesema dan epidemik koronavirus pada masa yang sama," katanya, dan kombinasi itu akan memberi tekanan lebih besar ke atas sistem penjagaan kesihatan negara daripada wabak pertama.

Virus yang menyerang sistem pernafasan dan berpotensi membawa maut yang dinamakan Covid-19, muncul akhir tahun lalu di China. Kes jangkitan pertama di AS dikenalpasti berkaitan dengan perjalanan, dan dikesan pada 20 Januari di negeri Washington berhampiran Seattle.

Sejak itu, hampir 810,000 orang telah diuji positif di AS dengan angka kematian dicatatakan pada lebih 45,000 orang.

Redfield dan pihak berkuasa kesihatan awam yang lain memuji arahan tinggal di rumah yang dilaksanakan secara drastik serta enutupan perniagaan dan sekolah yang meluas di seluruh negara. Ini katanya, berjaya memperlambat penularan jangkitan. Tetapi sekatan itu juga telah melumpuhkan ekonomi AS yang menyaksikan tidak kurang 22 juta rakyat yang hilang pekerjaan sepanjang empat minggu terakhir.

Walaupun sekatan pergerakan secara beransur-ansur dilonggarkan, Redfield menekankan pentingnya bagi semua individu terus berlatih menjarakkan diri antara satu sama lain.

Pada waktu yang sama, katanya, pihak berkuasa kesihatan awam harus banyak melakukan ujian untuk mengenal pasti mereka yang dijangkiti dan untuk mencari interaksi peribadi mereka melalui jejak kontak.

[Baca berita penuh]