Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

'PN harus belajar dari kegagalan GLC ketika pentadbiran lalu'

Gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Islam meminta kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil iktibar kegagalan tadbir urus syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akibat dipimpin ahli politik ketika pentadbiran lalu.

Gabungan NGO itu menzahirkan rasa tidak setuju dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan bahawa kerajaan PN melantik ahli-ahli Parlimen yang tidak memegang jawatan menteri atau timbalan menteri mengetuai GLC.

Jelas gabungan itu, jawatan utama GLC tidak seharusnya dijadikan habuan politik dan GLC harus dipimpin oleh kumpulan teknokrat.

"Jawatan utama di GLC tidak boleh dijadikan habuan politik dan kerja pengerusi bukanlah menjadi pemantau tetapi pemangkin prestasi GLC tersebut.

"Sejarah telah membuktikan apabila politik dan perniagaan dicampur-adukkan, perniagaan meluru ke arah kehancuran.

"Semasa pemerintahan terdahulu, ramai anggota Parlimen dilantik menjadi pengerusi GLC seperti FGV, Tabung Haji, Felcra, Mara dan lain-lain. Hasilnya GLC-GLC ini mengalami kerugian besar dan terpaksa diselamatkan (bail out) oleh kerajaan," katanya dalam satu kenyataan bersama.

Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama membabitkan Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (ACCIN), Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu (MTEM), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan Majlis Belia Malaysia (MBM).

Pada 12 April lalu, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS berkata semua anggota Parlimen kerajaan persekutuan yang tidak dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri akan dilantik mempengerusikan agensi kerajaan dan GLC.

"MP PAS ada 18 orang, lapan orang dah jadi menteri dan timbalan menteri, seorang jadi duta khas perdana menteri ke Timur Tengah.

"Tinggal sembilan orang (lagi). Alhamdulillah saya difahamkan semua MP kerajaan akan diberikan tanggungjawab mengendalikan GLC.

"Kerana mereka semua ini layak, mereka ini adalah ahli parlimen," katanya kepada media ketika ditemui di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu.

'Rekod baik PN tak harus dicemari isu pelantikan GLC'

Gabungan NGO itu berkata, sejarah  membuktikan para teknokrat telah berjaya memimpin GLC dengan baik dan mencipta kejayaan.

Mereka memberikan contoh rekod cemerlang Abdul Aziz Rahman menerajui MAS menjadi sebuah syarikat penerbangan yang terulung di rantau ini, begitu juga Petronas yang diterajui oleh Azizan Zainul Abidin dan Hasan Merican dipacu menjadi syarikat Fortune 500.

Jelasnya, kerajaan perlu belajar dari pengalaman lalu apabila pemimpin gagal memegang amanah hingga rakyat hilang keyakinan dan beralih arah.

Malah katanya, lebih malang jika individu yang ingin dilantik memegang jawatan itu ketika ini berdepan pertuduhan pecah amanah di mahkamah.

"Oleh itu GLC perlu kembali kepada peranan badan amanah orang Melayu dan rakyat Malaysia. GLC perlu diurus oleh mereka yang mampu menjaga kepentingan orang Melayu dan rakyat secara keseluruhan.

"Kami menyeru agar segala inisiatif reformasi GLC ke arah tata kelola yang lebih baik dan dinamik terus dilaksanakan demi masa depan negara dan generasi akan datang.

"Rekod baik kerajaan PN setakat ini tidak harus dicemari dengan isu pelantikan GLC," tegasnya.