Jangan patahkan semangat Ebit Lew, kata Puteri Umno
Ketua Pergerakan Puteri Umno, Zahida Zarik Khan berpandangan semua pihak tidak perlu berprasangka negatif dengan mengecam individu mahu pun persatuan yang cuba menghulurkan bantuan kemanusiaan ketika negara menghadapi wabak Covid-19.
Menurut Zahida ini termasuklah kerja amal yang dilakukan oleh pendakwah bebas, Ebit Lew.
“Kerja amal yang dibuat oleh Ustaz Ebit Lew amatlah dialu-alukan kerana tidak mungkin satu pihak mampu melakukan semua perkara.
“Malangnya saya terbaca ada juga segelintir pihak kurang senang dengan kebaikan yang dilakukan.
“Apa jua alasan, kita seeloknya tidak ada sifat negatif hingga ada rasa siapa lebih baik atau siapa lebih layak menghulurkan bantuan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook bertajuk 'Jangan patahkan semangat Ebit Lew'.
Zahida tidak merujuk mana-mana pihak yang dikatakan kurang senang terhadap bantuan yang diberikan oleh Ebit Lew kepada mereka yang memerlukan.
Bagaimanapun, baru-baru ini terdapat seorang pendakwah dikenali sebagai Abu Syafiq mempertikai tindakan Ebit memuat naik gambar dan video orang miskin di media sosial.
Selain itu, ada juga dalam kalangan segelintir netizen mendakwa Ebit tidak mematuhi penjarakan sosial ketika menyampaikan bantuan.
Sebaliknya, kata Zahida, apa yang perlu dilakukan masyarakat adalah mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka yang menghulurkan bantuan.
Katanya, setiap bantuan besar mahupun kecil sekurang-kurangnya dapat memberi keceriaan kepada mereka yang terkesan akibat daripada perintah kawalan pergerakan (PKP).
"Dalam keadaan krisis hari ini, kita nampak ada banyak pihak tidak kira kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), persatuan termasuk orang perseorangan yang prihatin membantu insan kurang bernasib baik.
"Jangan jadikan ia sebagai isu politik hingga ada tindakan kecam-mengecam sesama kita,” tegasnya.
Kata Zahida, kesan daripada kerja amal yang dibuat Ebit Lew telah menggerakkan hati lebih ramai rakyat Malaysia berkemampuan untuk turut sama menyumbang kepada mereka yang memerlukan.
"Saya percaya Ustaz Ebit Liew berniat baik dan bertujuan menunjukkan nilai-nilai murni ajaran Islam kepada semua yang melihat.
"Kami doakan ustaz terus diberikan kesihatan yang baik, dilimpahi rezeki dan dirahmati Allah sentiasa," katanya
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai