Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Selepas jatuh dan beberapa kesilapan sesudah itu

KATA MP | Pada pagi 24 Februari 2020 saya berada di pejabat, agak awal sedikit, untuk bertemu dengan timbalan saya pada ketika itu, Dr Shahruddin Md Salleh. Saya teringin sangat untuk mengetahui mengenai mesyuarat Bersatu, peristiwa di Istana Negara dan pertemuan di Hotel Sheraton, kesemuanya berlangsung pada hari sebelumnya, iaitu Ahad, 23 hari bulan. 

Semua memahami bahawa perkembangan ini boleh mengakhiri PH, seperti yang kita fahaminya sejak sekian lama, tetapi tiada yang tahu, pada ketika itu, bagaimana ia akan berlaku. Pengkhianatan sudah jelas sedang berlaku, tetapi apa kesudahannya tiada yang mampu meramalkannya.

Apabila dia sampai, kita duduk berbual dan saya dengar darinya apa yang telah berlaku. Ia tidak banyak berbeza dengan apa yang disampaikan kemudiannya oleh Mukhriz Mahathir. Shahruddin mengisahkan bagaimana Mahathir Mohamad begitu berkeras, tidak mahu keluar dari PH, kerana mengikut Tun, sudah tiada sebab untuk meninggalkan PH. Namun pihak satu lagi sama keras, malahan lebih lagi dan mereka lebih ramai.

Sambil kami berbual, saya mendapat berita bahawa pemimpin-pemimpin PH telah hadir ke pejabat Tun dan mereka diberitahu bahawa Tun tidak akan ke pejabat pada pagi itu. Mereka berkejar ke rumah Tun dan diminta menunggu di luar kerana Tun belum putuskan samada hendak bertemu dengan mereka atau sebaliknya. Selepas lebih kurang setengah jam mereka diajak masuk, seorang demi seorang, pada awalnya Wan Azizah Ismail, diikuti Lim Guan Eng, selepas itu Mat Sabu dan akhir sekali Anwar Ibrahim.

Dia bertemu dengan mereka semua, satu persatu, dan memberitahu mereka dia telah meletak jawatan sebagai perdana menteri. Surat peletakan jawatan telah dia serahkan kepada Yang di-Pertuan Agong awal pagi itu juga.

Sebaik sahaja selepas itu, tiba berita bahawa Muhyiddin mengistiharkan Bersatu keluar PH. Ini menyebabkan Shahruddin merasa agak tidak selesa kerana ia menimbulkan persoalan terhadap status hubungan kami. Adakah kami masih kawan dan rakan, atau adakah perkembangan terbaharu ini mengubah status hubungan kami?

Program saya telah dijadualkan lebih awal dan Shahruddin mengetahuinya. Oleh itu dia minta izin untuk tinggalkan saya sebaik sahaja kami selesai berbual. Saya mengucapkan terima kasih atas kesudiannya bertemu dan memaklumkan keadaan semasa dan apa yang sedang diusahakan. Dia memberitahu saya bahawa dia setia kepada Muhyiddin, oleh kerana telah diasuhnya sejak dari jawatan setiausaha politik dan sejak zaman Umno lagi. Dia berterus terang dan menyatakan dia tidak akan tinggalkan Muhyiddin dan dia beritahu saya dia begitu terkejut, sebagai perbandingan, bagaimana Azmin Ali sanggup mengkhianati Anwar.

Saya turut berterus terang dengannya dengan mengatakan bahawa itulah yang sedang dilakukan Muhyiddin terhadap Tun. Dia memberikan senyuman tidak selesa dan tidak menjawab. Kita berjabat tangan, saling mengucapkan terima kasih atas sokongan dan bantuan, dan terus berpisah. Terlintas di pemikiran saya bagaimana suasana pertemuan kami selepas ini.

Saya seterusnya hadir program pelancaran praprogram Hot Air Baloon International Festival anjuran Perbadanan Putrajaya. Kehadiran saya di program ini hingga hari ini dipersendakan Najib Razak. Mungkin dia sendiri minat? Selepas makan tengah hari saya telah ke Port Dickson untuk merasmikan program PlanMalaysia. Saya bangga dengan hakikat bahawa semasa golongan pengkhianat sedang sibuk merancang dan mengatur langkah khianat mereka, saya sibuk menjalankan tugas.

Perdana menteri interim

Petang itu saya menerima berita bahawa Tun telah dilantik sebagai perdana menteri interim oleh YDP Agong. Memandangkan dia begitu tegas menolak cadangan pimpinan lain Bersatu untuk bawa parti itu keluar PH, saya merasakan ada harapan dia akan tabalkan kembali kerajaan PH. Mana tahu, mungkin dia ada sesuatu dalam perancangannya.

Pada Selasa 25 Februari saya dimaklumkan semua ahli parlimen perlu hadir ke Istana Negara untuk membuang undi secara hadir sendiri untuk menentukan siapa perdana menteri baharu. Ahli parlimen PH akan mula mengundi pada hari esoknya, iaitu Rabu 26 hari bulan.

Malam itu diadakan Mesyuarat Majlis Presiden untuk menentukan siapa yang perlu kita undi. Tun dijemput tetapi dia menolak atas alasan Bersatu bukan lagi anggota PH. Kalau dia hadir mesyuarat PH maka dia akan terpaksa hadir mesyuarat pihak satu lagi. Tun begitu yakin dia akan disokong semua pihak, kerana baru seminggu dua lepas mereka telah menyatakan sokongan tidak bersyarat untuk Tun. PH juga telah bersetuju, pada Jumaat lepas, untuk membenarkan dia terus kekal sebagai perdana menteri sehingga dia sendiri melepaskan jawatan tersebut, iaitu hanya empat hari sebelum itu.

Mungkin oleh kerana tidak adanya perhubungan terbuka dan ikhlas antara Tun dan PH menyebabkan pimpinan PH kebingungan berhubung sebab mengapa dan niat sebenar di sebalik tindakan Tun meletakkan jawatan. Kami kebingungan juga berhubung bagaimana ia perlu ditangani. Telah menjadi jelas bahawa Tun tidak lagi menganggap dirinya sebagai sebahagian dari PH pada ketika itu dan dia menginginkan mandat baharu untuk dirinya atas terma baharu.

Pemahaman ini adalah berdasarkan apa yang telah Tun jelaskan sendiri kepada pimpinan PH pada pagi itu semasa di rumahnya; bahawa sekiranya dia dipilih kembali sebagai perdana menteri dia bebas untuk melakukan apa yang dia anggap perlu. Ini adalah kerana mandat baharu ini adalah atas sokongan ahli parlimen terhadap dirinya secara peribadi.

Akan tetapi, mengapa Tun bertindak sebegitu masih tidak begitu jelas kepada kami. Adakah Tun sebahagian dari komplot ini? Adakah peletakan jawatannya mengikut perancangan yang diketahui dirinya dan ahli komplot sahaja? Ada ke komplot? Mengapa dia tidak bersama Muhyiddin, atau adakah dia sebenarnya bersama?

Walauapapun, mesyuarat Majlis Presiden PH terpaksa membuat keputusan pada malam itu juga. Berdasarkan syarat dan terma baharu yang ditetapkan Tun, kami keberatan untuk menamakannya sebagai calon PM kami. Implikasinya adalah mengembalikan Tun dengan kuasa menyeluruh dan mutlak berhubung apa yang akan dia lakukan. Tiada janji untuk mengikatnya, tiada dasar yang dipersetujui untuk dilaksananya. Ia penyerahan kuasa secara absolute. Oleh itu dipersetujui bahawa kami semua akan menamakan Anwar sebagai calon kami. Ia calon bagi pihak PH dan ia selari dengan janji bahawa Anwar sebagai perdana menteri selepas Tun.

Mungkin kalau kita benar-benar rapat semasa dalam gabungan, lebih jujur dan lebih terbuka, Tun akan sanggup bersikap terbuka dan menceritakan kepada kami apa sebab sebenar dia meletakkan jawatan. Mungkin kita pada ketika itu dapat menenangkannya dan memberitahunya bahawa kita tetap menyokongnya sebagai perdana menteri walaupun tanpa Bersatu bersama PH. Mungkin ketidakselesaan Tun untuk memohon belas ehsan PH, atau lebih tepat lagi mungkin, dari perspektif Tun, belas ehsan Anwar, akan dapat kita tangani, kalau diberi peluang. Ketidaksanggupan Tun untuk memohon bantuan dari Anwar, pada ketika ia diperlukan, bererti Tun terpaksa cari formula lain.

Gabungan Muhyiddin-Azmin

Tun yakin semua akan sokongnya, kerana itulah yang telah dinyatakan sebelum ini. Oleh itu dia mampu mendapat mandat atas dirinya sendiri. Dia ingin bebas, tidak dibendung oleh PH yang dilihatnya sebagai kubu penyokong Anwar. Dia ingin bebas juga dari PN yang merupakan gabungan Muhyiddin dan Azmin bersama ‘penyamun’ dan ‘pengkhianat’. Tun merasakan itu sahajalah jalan keluar bagi dirinya supaya lepas dari tersepit antara dua pilihan yang tidak disenangi seperti dijelaskan dalam tulisan sebelum ini. Akan tetapi, ia tidak kesampaian.

Bagi kami pula, kami juga merasakan ada harapan untuk mendapatkan lebih dari 112 undi yang diperlukan. Kami sudah ada 92 undi yang tidak akan lari. Kami hanya perlukan 20 sahaja lagi. Dan kami merasakan sekiranya kami kekurangan hanya beberapa undi, maka secara logiknya YDP Agong akan tetap melantik Anwar, kerana dia adalah yang paling berkemungkinan untuk mendapat jumlah 112 undi yang diperlukan. Maka malam tersebut, kami disibukkan dengan panggilan telefon kepada semua ahli parlimen yang dianggap mungkin sanggup menyokong Anwar sebagai calon perdana menteri. Dan ini berterusan sehingga awal pagi.

Pada esoknya, Rabu 26 kami semua hadir ke istana. Kami mendengar khabar angin bahawa ahli parlimen PAS dan Umno tidak memberi sokongan mereka kepada Tun. Kami cuba memahami apa yang sedang dirancang di pihak sana, namun kami putuskan untuk terus seperti yang telah dipersetujui oleh kerana syarat dan terma yang diberikan Tun terlalu berat untuk diterima. Dan selepas mengundi, kami semua menunggu dengan penuh debaran untuk mendengar keputusannya.

Maka didapati tiada seorang pun yang mendapat jumlah minimum yang diperlukan iaitu sebanyak 112 undi sokongan. Walaupun ia tidak diistiharkan, kami difahamkan Tun mendapat kurang daripada Anwar, semasa kali pertama ini, tetapi jumlah yang diperoleh Anwar tetap kurang daripada 112. Nama-nama lain yang disebut sebagai yang turut dicalonkan adalah Muhyiddin dan dua lagi yang lain, yang mana mereka semua, termasuk Muhyiddin mendapat jauh kurang berbanding Tun dan Anwar.

Kami menunggu untuk melihat samada YDP Agong akan lantik Anwar oleh kerana kita yakin dia mendapat jumlah yang terbanyak. Malangnya bukan itu yang berlaku. YDP Agong mesti yakin bahawa Anwar mampu mendapat beberapa lagi ahli parlimen untuk menambahkan jumlah undinya tetapi ia kelihatan sukar apabila isu kaum ditimbulkan Umno dan PAS. Mereka menimbulkan isu bahawa walaupun Anwar mempunyai jumlah yang teramai namun ia terdiri dari majoriti bukan Melayu dan bukan Islam.

Dengan adanya isu kaum ditimbulkan, dianggap agak sukar untuk Anwar untuk mendapat undi tambahan. Begitulah mungkin yang difikirkan. Pada masa sama, calon-calon yang lain jauh sangat ketinggalan. Oleh kerana tiada mana-mana pihak yang diyakini boleh mendapat majoriti di Dewan Rakyat, maka baginda memilih untuk melakukan pengundian semula, tetapi kali ini undi akan diserahkan kepada baginda melalui presiden parti.

Bagi yang mengeluh kononnya kami tidak pernah meletakkan nama Anwar sebagai calon perdana menteri, saya ingin menegaskan di sini bahawa kami telah melakukannya. Namun kami kekurangan undi, dan ia bukan atas sebab tiada usaha yang gigih untuk mendapatkan undi. Untuk masa ini, dengan ahli parlimen yang sedia ada, sebahagian mereka pula menentang pencalonan Anwar habis-habisan, kami gagal mendapatkan jumlahnya. Oleh itu kami kembali menyusun strategi alternatif.

Status quo

Kali ini kami lakukan apa yang mungkin sepatutnya kami lakukan dari awal, ia itu pimpinan PH duduk bersama Tun dan runding kembali syarat-syarat yang telah Tun tetapkan. Dan selepas perbahasan dan rundingan yang agak panjang, dipersetujui untuk kembali kepada status quo seperti dahulu tetapi tanpa ‘pengkhianat’, sekiranya Tun kembali sebagai perdana menteri. Namun perlu disebut bahawa persetujuan Tun mungkin tidak diperoleh pada peringkat awal, sekiranya dirunding pada ketika itu, kerana Tun yakin Umno dan PAS akan menyokongnya.

Dan dengan itu pengundian diadakan untuk kali keduanya. Tetapi kali ini diserah oleh presiden parti. Kami yakin dengan sokongan PH, Tun telah memperoleh lebih dari 112 undi. Namun YDP Agong melantik Muhyiddin berdasarkan maklumat Muhyiddin bahawa senarai penyokongnya termasuk Tun, Syed Sadiq Syed Abdul Rahman, Maszlee Malik dan Amiruddin, kesemuanya daripada Bersatu.

Dan ini mungkin sebab mengapa rebutan pelantikan syarikat berkaita kerajaan (GLC) yang kita lihat bersama sedang berlaku sekarang. Ia untuk menentukan Muhyiddin mempunyai 115 “penyokong tegar” yang tidak akan lari, sekiranya undi tidak percaya diadakan apabila parliamen bersidang!

Apa yang berlaku seterusnya adalah “catatan sejarah”, seperti lazim disebut orang.

Maka kerajaan pintu belakang telah diwujudkan buat kali pertamanya dalam sejarah Malaysia dan Muhyiddin merupakan perdana menterinya. Sejarah akan mencatat peranannya yang memalukan ini. Amat diharapkan ia kerajaan pintu belakang yang satu-satunya sepanjang sejarah kita. Dan sebagai cabaran pertamanya, kerajaan pintu belakang ini terpaksa menangani ancaman Covid-19. Ancaman ini terabai untuk sekian lama, atas sebab mengejar cita-cita politik, yang menyebabkan gelombang kedua menyusup masuk ke dalam negara tanpa disedari apatah lagi dikawal.

Akan tetapi cabaran membawa peluang bersamanya, seperti biasa dikatakan ramai, dan kelihatan sememangnya banyak pintu peluang telah terbuka. Sebahagiannya peluang untuk kejahatan. Segala prosedur dan peraturan diketepikan atas sebab ‘suasana kecemasan' Covid-19, dan dengan itu yang berkuasa boleh bertindak sesuka hati. Macam-macam boleh berlaku.

Walaupun begitu, soalan yang ditanya semua sekarang ini adalah sama ada kerajaan PH boleh berkuasa kembali, dan sekiranya boleh, bagaimana dan bila?

Berhubung bagaimana, biar saya nyatakan, bahawa yang terutama adalah untuk kita belajar dari kesilapan lepas kita.

Kesilapan terbesar yang telah kita lakukan adalah kekal “rapuh di tengah”. Kita tidak berusaha mengukuhkan pakatan kita. Ramai yang mempertikai pendekatan yang dipilih, sejak hari pertama, dan mereka terus mempertikaikannya. Secara tidak langsung mereka menyumbang kepada keadaan PH terus “rapuh di tengah”. Apabila jatuh mereka berteriak, “Kan dah kukatakan!” Ya, dan mungkin atas jasa mereka juga. Harap mereka berpuas hati. Kita tidak boleh membuktikan betul atau salah sesuatu pendekatan tanpa kita melaksanakannya bersungguh-sungguh, sepenuh hati.

Kesilapan kedua terbesar adalah membenarkan golongan pengkhianat bebas bergerak di kalangan kita. Kita kenali mereka tetapi kita tak buat apa-apa untuk menangani usaha mereka. Mereka buka langkah dan kita dalam keadaan tidak mengetahui.

Dan banyak lagi kalau nak disenaraikan. Akan tetapi, satu pengajaran yang wajib diinsafi untuk masa ini adalah Anwar tak boleh menang tanpa Tun dan Tun tak boleh menang tanpa Anwar.

Kena diakui, DS Anwar menepati semua janjinya, kecuali berhubung golongan tukang pertikai dari kalangan penyokongnya yang keras dalam sikap mempertikaikan dan malangnya begitu lantang pula. Namun, sudah tiba masanya Tun membalas sepertimana dijanjikan. Apa jua persetujuan dan perjanjian yang dihasilkan untuk membawa mereka berdua kembali bekerjasama kelak mesti mengiktiraf sumbangan dan peranan tak ternilai kedua-dua mereka. Tanpa sumbangan dan peranan ini, tidak seorang dari mereka akan berjaya.


KHALID SAMAD ialah pemimpin Amanah, anggota parlimen Shah Alam dan bekas menteri Wilayah Persekutuan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.