Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Mufti bermesyuarat esok bincang isu puasa, tarawih

Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) antara semua mufti negeri atau wakilnya akan diadakan esok secara sidang video.

Mufti Kelantan Mohamad Shukri Mohamad berkata mesyuarat yang dijangka bermula 10 pagi itu akan membincangkan perkara yang berkaitan dengan ibadat puasa.

“Mesyuarat esok akan memberi kata putus mengenai keperluan berpuasa bagi pesakit Covid-19 yang beragama Islam.

“Kami juga akan berbincang perkara lain yang berkaitan dengan ibadat puasa seperti pembayaran dan kadar zakat serta solat tarawih,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Mohamad Shukri turut berkata pesakit di bawah siasatan (PUI) Covid-19 yang masih menjalani kuarantin di pusat kuarantin atau di rumah mahupun yang disahkan bebas wabak itu tetap diwajibkan menjalani ibadah puasa.

“Mereka perlu mendapatkan nasihat doktor atau pakar kesihatan yang dipercayai untuk memberikan pengesahan tahap kesihatan dirinya sebelum berpuasa.

“Jika pesakit perlu melakukan ujian saringan seperti ujian swab yang memerlukan peralatan sehingga ke rongga hidung, maka puasanya perlu diganti nanti,” jelasnya.

Mufti Kelantan Mohamad Shukri Mohamad.

Terdahulu, Jabatan Mufti Perak dalam satu kenyataan mengatakan kewajipan berpuasa tidak gugur semata-mata dengan andaian bahawa seseorang sudah atau akan dijangkiti penyakit Covid-19.

“Terdapat tiga golongan pesakit Covid-19 iaitu yang tidak menampakkan gejala atau menunjukkan gejala yang tidak ketara dibenarkan berpuasa namun wajib berbuka (membatalkan) puasa sekiranya dinasihatkan doktor yang amanah untuk berbuat demikian atas kekhuatiran datangnya mudarat jika meneruskan puasa.

“Bagi kategori sakit tanpa atau sedikit gejala dan pesakit dalam kadar kuat, namun tidak kritikal, mereka hanya perlu menggantikan puasa.

“Bagi pesakit kritikal, mereka tidak perlu menggantikan puasa, namun cukup dengan membayar fidyah bagi setiap hari yang ditinggalkan,” katanya.

Sementara itu, Mufti Pulau Pinang, Dr Wan Salim Wan Mohd Noor turut berkata orang Islam yang masih bawah rawatan Covid 19 diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadan.

Mufti Pulau Pinang, Dr Wan Salim Wan Mohd Noor

“Sekiranya mampu berpuasa dan tidak memudaratkan diri atau menyebabkan bertambah sakit sehingga melambatkan kesembuhannya, maka mereka perlu berpuasa seperti biasa.

“Namun ia diharuskan berbuka puasa dan hendaklah diganti (qadha) pada hari lain setelah sembuh nanti,” jelasnya ketika dihubungi.

Perintah kawalan pergerakan (PKP) sudah memasuki fasa ketiga, dan dijangka tamat 28 April ini, bersamaan 5 Ramadan 1441, hari kelima umat Islam menjalani ibadah berpuasa yang akan bermula pada Jumaat ini.

Jumlah kes positif Covid-19 di negara ini setakat tengah hari tadi adalah 5,425 kes dengan 89 kematian secara keseluruhan.

Bagaimanapun, keadaan Covid-19 di Malaysia merekodkan perkembangan baik apabila jumlah pesakit yang pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj dari wad mencapai jumlah kumulatif 3,295 orang, iaitu 60.97 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.