Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Himpunan Tabligh: Najib persoal Khalid berkenaan kelulusan DBKL

Bekas perdana menteri Najib Razak membangkitkan persoalan berkenaan kelulusan kepada himpunan Tabligh di Masjid Sri Petaling Kuala Lumpur, yang kemudiannya menjadi kluster terbesar Covid-19 di Malaysia.

Selepas menyasarkan bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad semalam, Najib hari ini mempersoalkan bekas menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad berhubung permohonan masjid itu untuk menutup jalan di kawasan tersebut bermula 25 Februari hingga 2 Mac.

"Hari ini, Najib tanya bekas menteri Wilayah Persekutuan kenapa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) keluarkan surat tiada halangan untuk himpunan itu pada 17 Februari?

"Siapa menteri Wilayah Persekutuan yang jaga DBKL pada 17 Feb 2020?" soal Najib di Twitter.

Menurut surat itu yang dilampirkan bersama ciapannya, DBKL memberikan kelulusan penutupan jalan berdasarkan beberapa syarat, antaranya penganjur perlu mendapat kelulusan daripada ibu pejabat polis daerah (IPD) dan ketua polis trafik Kuala Lumpur untuk bantuan kawalan trafik.

Apabila dihubungi, Khalid mengesahkan bahawa kelulusan DBKL tertakluk kepada kelulusan polis dan ia hanya berkaitan penutupan jalan seperti yang dimohon penganjur.

Khalid juga berkata langkah memberi kelulusan tidak dilihat sebagai masalah pada masa itu, iaitu hampir dua minggu sebelum himpunan berlangsung.

"Pada masa itu kita tidak tahu kerajaan akan dijatuhkan.

"Kerajaan PH menangani ancaman Covid-19 dengan baik semasa gelombang pertama, dan jika PH terus (kekal sebagai) kerajaan, kami yakin gelombang kedua akan ditangani dengan baik juga," katanya kepada Malaysiakini.

"Jika kita tahu berlaku pertukaran kerajaan dan pentabdiran baru kurang cekap, sudah pasti ia (himpunan) tak diluluskan," katanya lagi.

Beliau turut menyuarakan perkara sama yang disebut Dr Dzulkefly, bahawa tumpuan terhadap pengurusan krisis Covid-19 diganggu oleh politiking yang membawa kepada pembentukan Perikatan Nasional.

Dzulkefly Ahmad

Soal kelulusan himpunan Tabligh diperkatakan setelah Menteri Kesihatan Dr Adham Baba mendakwa pentadbiran PH gagal membendung kluster himpunan itu.

Dzulkefly kemudian berkata kini bukan masa untuk menuding jari, tetapi Adham boleh bertanya kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang menurutnya individu yang lebih maklum berkenaan himpunan tersebut, memandangkan peranannya sebagai menteri dalam negeri ketika pentadbiran PH.

Beliau juga berkata fokus pengurusan krisis Covid-19 telah dirampas oleh "langkah Sheraton".

Himpunan jemaah Tabligh berlangsung bermula 28 Februari hingga 3 Mac.

"Langkah Sheraton" merujuk keluarnya Bersatu dan sejumlah anggota Parlimen PKR daripada PH untuk menubuhkan gabungan baru bersama-sama Umno, PAS, Gabungan Parti Sarawak dan beberapa parti kecil lain. Nama itu susulan perkumpulan para anggota parlimen di Hotel Sheraton Petaling Jaya pada 23 Februari.

Bermula 24 hingga 29 Februari, Malaysia dipimpin oleh Dr Mahathir Mohamad yang menjadi perdana menteri sementara. Negara tiada kerajaan sepanjang tempoh itu.

Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan pada 1 Mac, dan kabinet baru mengangkat sumpah pada 10 Mac.

Najib kemudian mendakwa Dzulkefly sendiri telah menjawab persoalan berkenaan Muhyiddin itu, dengan melampirkan laporan Sinar Harian bertarikh 12 Februari yang memetiknya sebagai berkata "tiada keperluan untuk menunda aktiviti yang melibatkan orang amai seperti majlis keramaian atau penutupan sekolah, seperti disarankan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO)".

Dalam laporan itu,Dzulkefly juga berkata pihaknya akan sentiasa membuat penilaian dan menyemak tindakan yang sesuai berdasarkan perkembangan semasa.

Perhimpunan itu kemudian mempunyai kaitan dengan kira-kira 40 peratus daripada keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia setakat ini.

Pada 15 Mac, beberapa hari selepas Masjid Sri Petaling ditutup untuk kerja nyahjangkitan, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dilaporkan berkata program itu tidak memerlukan permit polis memandangkan ia adalah kegiatan keagamaan.