Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

New Zealand sedia longarkan sekatan Covid-19 minggu depan

GLOBAL l New Zealand, minggu depan, dijangka melonggarkan sekatan pergerakan di negara itu yang dikatakan antara paling ketat di dunia bagi membendung penularan wabak koronavirus, kata Perdana Menteri Jacinda Ardern pada Isnin.

Ini setelah sebulan sekatan ketat dilaksanakan bagi melambatkan penyebaran penyakit itu.

Negara Pasifik yang mempunyai lima juta peduduk itu memperkenalkan langkah-langkah penutupan tahap keempat iaitu yang tertinggi pada akhir Mac, dengan menutup pejabat, sekolah dan semua perkhidmatan tidak penting termasuk bar, restoran, kafe dan taman permainan.

New Zealand akan dikeluarkan dari amaran tahap keempat pada 27 April, beberapa hari lebih lama daripada penutupan satu bulan, sebelum diletakkan pada amaran tahap ketiga selama dua minggu, kata Ardern pada sidang akhbarnya.

"Kami menganggap bahawa semakin lama kita dalam lockdown, semakin kecil kemungkinan kita harus kembali," kata Ardern mengenai mengapa langkah-langkah penutupan itu dilanjutkan.

Pendekatan ketat dan pantas New Zealand, menutup sempadannya dan mengumumkan darurat negara sebelum kematian Covid-19 dicatatkan di negara itu mendapat pujian yang meluas.

Hanya sembilan kes baru Covid-19 dicatatkan pada Isnin dengan tidak ada kematian baru, menjadikan jumlah keseluruhan 1,440 kes dengan 12 kematian.

Ardern berkata amaran tahap 3 membolehkan lebih banyak aktiviti ekonomi seperti pembinaan, pembuatan dan perhutanan dijalankan, tetapi tetap tidak membenarkan lebih banyak aktiviti sosial. Keputusan mengenai sama ada sekatan dapat terus dilonggarkan lagi akan dibuat pada 11 Mei, katanya.

[Baca berita penuh]