Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Hanipa: Ahmad Dusuki mungkin 'tersindir' presiden PAS

Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin mempersoal sama ada Ahmad Dusuki Abd Rani sedar atau tidak bahawa ulama PAS itu mungkin secara tidak sengaja menyindir salah seorang pemimpin tertinggi partinya sendiri.

Mengulas kenyataan dibuat Ahmad Dusuki, Hanipa berkata ulama berkenaan menegaskan seseorang yang meminta maaf menandakan individu terbabit memiliki iman dalam hati.

Justeru, kata Hanipa, mengikut logik yang digunakan ulama PAS berkenaan, orang yang enggan meminta maaf sebaliknya tidak memiliki iman di hati.

“Minta maaf tanda ada iman!.. Ostad nak perli tuan guru presiden parti ostad ke? Tak ingat tuduhan Freemason?

“Jika ikut logik ostad, yang tak minta maaf tak ada imanlah kan?

“Jadi yang ada orang tulis surat dalam bahasa Arab tapi ada tipu dan fitnah orang dan sampai sekarang tak dengar lagi ada minta maaf, tak ada iman dalam hati ke ostad?” tulisnya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Awal hari ini Ahmad Dusuki yang juga anggota Jawatankuasa Ulama PAS Pusat memuji tindakan dua pemimpin Perikatan Nasional (PN) iaitu Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba; serta Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria.

Tulis surat berbahasa Arab

Adham menjadi bahan persendaan ramai apabila mendakwa beliau mengadakan persidangan dalam talian dengan wakil 500 negara, manakala Razman menghadiri pertamuan dan mengadakan jamual dengan Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Noor Azmi Ghazali.

Bagaimanapun dipetik The Star semalam, Adham berkata tidak menyatakan permohonan maaf sebaliknya menjelaskan beliau 'tersasul' kerana asalnya mahu menyatakan ada lebih 500 peserta dari seluruh dunia semasa sidang tersebut diadakan.

Turut terpalit ialah Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang mengucapkan tahniah kepada Adham.

Razman pula semalam membuat permohonan maaf secara terbuka sebelum pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah Krian, Perak, untuk memberi keterangan.

Kenyataan Hanipa mengenai surat berbahasa Arab itu dipercayai merujuk kepada tulisan Abdul Hadi Awang kepada pemimpin negara Arab bertarikh 22 Mac.

Dalam surat berkenaan - yang disahkan Naib Presiden PAS, Mohd Amar Abdullah - Abdul Hadi membuat beberapa tuduhan ke atas Pakatan Harapan dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Sehingga kini Abdul Hadi masih tidak memberi kenyataan mengenai kritikan terhadap surat tersebut, termasuk dakwaannya berkaitan hubungan pihak tertentu dalam PH dengan AS dan Freemason.

Ahmad Dusuki berkata, beliau bangga dengan cara permohonan maaf yang ditunjukkan beberapa menteri dan exco yang didakwanya menjalankan tugas masing-masing sewaktu tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP). 

Menurut Hanipa, pada suatu ketika dulu Ahmad Dusuki juga pernah membuat dakwaan yang tidak benar dan beliau didakwa tidak meminta maaf atas kenyataan tersebut.


Baca 500 negara: Saya salah sebut, kata Adham Baba


Walaupun tidak dinyatakan Hanipa dipercayai merujuk kepada ceramah Ahmad Dusuki sewaktu membicarakan kejadian banjir yang melanda Kelantan serta Pulau Pinang.

Dalam ceramahnya Ahmad Dusuki mendakwa kejadian banjir besar di Kelantan tidak menyebabkan berlaku kematian berbanding bencana di Pulau Pinang.

Bagaimanapun selepas dikritik, pengendali akaun media sosial Ahmad Dusuki kemudian membuat pembetulan dan mengakui banjir di Kelantan turut menyebabkan kehilangan nyawa manusia.

Ostad ada minta maaf ke? Jika tak ada, bahaya tu ostad. Nanti orang guna hujah ostad sendiri dan ostad pun dituduh tak ada iman," katanya.

Sementara itu, Ahmad Dusuki ketika dihubungi menjelaskan bahawa beliau tidak memperli mana-mana pihak berhubung pujiannya terhadap pemimpin PN tersebut.

Sebaliknya, beliau hanya berdoa supaya negara dipimpin oleh mereka yang mempunyai iman di hatinya.

“Saya tak memperli sesiapa, saya hanya berdoa supaya Malaysia ini dipimpin oleh mereka yang ada iman di hatinya.

“Moga Ramadan ini memberkati kita semua. Minta semua kita banyakkan membaca al-Quran supaya kita dapat kebahagiaan dunia dan akhirat,” katanya kepada Malaysiakini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Hanipa bahawa dirinya dikatakan memperli presiden PAS berhubung kenyatannya itu.

“Saya kesian dengan YB Hanipa, mudahan Allah menunjukkan jalan lurus kepadanya sebelum dipanggil mengadap,” katanya.