Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Melaka Tengah zon merah terbaru Covid-19

Melaka Tengah kini adalah daerah terbaru di negara ini yang diklasifikasikan sebagai zon merah berdasarkan kes aktif Covid-19. Ini menjadikan jumlah zon merah di seluruh negara adalah 17, menurut Kementerian Kesihatan.

Semalam, Melaka Tengah mempunyai 32 kes aktif, dan diklasifikasikan sebagai zon jingga. Hari ini, jumlah kes aktif di daerah ini meningkat kepada 65 kes.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan hanya mengenal pasti zon merah dengan jumlah kes positif Covid-19 yang disahkan secara kumulatif.

Walau bagaimanapun, jumlah kumulatif mungkin tidak menggambarkan keadaan Covid-19 secara tepat kerana ada yang pulih atau berakhir dengan kematian.

Kementerian pertama kali mendedahkan jumlah kes aktif mengikut daerah semalam.

Mana-mana daerah dengan lebih 40 kes Covid-19 yang disahkan diklasifikasikan sebagai zon merah. Daerah dengan 20 hingga 40 kes dilabelkan sebagai zon jingga sementara daerah di bawah 20 kes disenaraikan sebagai zon kuning.

Zon hijau digunakan untuk daerah yang bebas dari Covid-19.

Selain Melaka Tengah, 16 zon merah yang lain berdasarkan kes aktif adalah Petaling, Hulu Langat, Gombak, Klang, Cheras, Kepong, Lembah Pantai, Titiwangsa, Jasin, Seremban, Kluang, Johor Bahru, Kuantan, Kuching, Kota Samarahan dan Tawau .

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah telah menekankan berkali-kali pada sidang media Covid-19 harian kementerian bahawa kadar jangkitan virus bergantung kepada jumlah kes aktif.