Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pengusaha bas ekspres minta kerajaan beri subsidi lepas tamat PKP

Persatuan pengusaha bas ekspres meminta kerajaan menyediakan subsidi khas untuk industri pengangkutan awam susulan hilangnya pendapatan mereka sepanjang perintah kawalan pergerakan.

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung (Pembawa) Tajudin Mohd Yunos, berkata sejak PKP dikuatkuasakan operasi bas ekspres dihentikan dan mereka kini ibarat kais pagi makan pagi untuk meneruskan kelangsungan syarikat.

“Kami minta kerajaan untuk memberikan subsidi dari segi diesel dan pengecualian bayaran tol selama enam bulan selepas PKP ditamatkan.

“Walaupun kerajaan telah memberi Program Pengekalan Pekerja (ERP) kepada syarikat, pengusaha masih perlu memikirkan untuk membayar titik pulangan modal (BEP) dan kos operasi lain selepas kembali beroperasi nanti,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Tajudin

Penguatkuasaan PKP menyaksikan banyak perkhidmatan dan industri yang tidak termasuk dalam kategori perkhidmatan penting perlu menghentikan operasi.

Selain itu, orang ramai juga dilarang keluar rumah melainkan untuk beberapa urusan penting, sekali gus menjejaskan perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas dan teksi.

Pada 6 April lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan langkah tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat, yang antara lain meningkatkan peruntukan untuk program subsidi upah daripada daripada RM5.9 bilion kepada RM13.8 bilion.

Menerusi program itu, syarikat boleh memohon subsidi upah RM600 hingga RM1,200 bagi setiap pekerja mereka yang bergaji RM4,000 ke bawah, bergantung kepada jumlah pekerja mereka.

Selain itu, kerajaan juga memberikan moratorium bayaran pinjaman perniagaan selama enam bulan bermula April 2020 kepada perniagaan.

Mengulas lanjut, Tajudin berkata terdapat 18 syarikat - meliputi 747 buah bas dan 1,100 pemandu bas berdaftar - bernaung di bawah Pembawa.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang "munasabah dan adil" untuk perkhidmatan bas ekspres sebaik PKP tamat dan mereka beroperasi kembali.

“Jika sanitasi kepada bas perlu dilakukan, kami minta pihak kerajaan melantik kontraktor yang boleh memberikan harga berpatutan kepada pengusaha bas,” katanya.

Beliau berkata harga tiket bas juga mungkin perlu dinaikkan jika pihaknya perlu melaksanakan langkah keselamatan seperti penjarakan sosial di kalangan penumpang, bagi menampung kos operasi syarikat.

Terdahulu, beberapa persatuan teksi turut menyuarakan gesaan yang sama, iaitu agar kerajaan menyediakan inisiatif khas buat pemandu teksi yang hilang punca pendapatan susulan PKP.