Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Timb speaker pula kena kritik tak jaga jarak sosial

Timbalan Speaker Rashid Hasnon menjadi pemimpin politik terbaru yang dikritik kerana didakwa gagal menjaga jarak sosial seperti yang dinyatakan di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) untuk memerangi wabak Covid-19.

Pada halaman akaun Facebooknya, Rashid, yang juga anggota parlimen Batu Pahat, dapat dilihat dalam sejumlah foto sedang melakukan kerja-kerja mengagihkan bantuan yang sangat diperlukan.

Walau bagaimanapun, gambar-gambar itu kelihatan memaparkan kegagalan untuk menjaga jarak sosial juga.

Pada 17 April, Rashid melawat masyarakat Orang Asli di Kg Rengit di Batu Pahat bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Johor.

"Petang ini berkesempatan turun ke Kampung Bumiputera Rengit Batu Pahat bersama Jakoa Johor.

"Kami menjejaki masyarakat bumiputera yang terputus belakan makanan. Semoga sumbangan kecil ini dapat memudahkan urusan harian mereka. Insyaallah kita akan menang. Kekal di rumah, kami datang," katanya.

Bagaimanapun dalam gambar berkumpulan itu, Rashid dan pasukannya kelihatan dipaparkan sangat dekat bersama penduduk kampung.

Ketika dihubungi hari ini, Rashid merujuk gambar lain yang dikatakan menunjukkan beliau duduk semeja bersama pegawai daerah Batu Pahat, Zulkiflee Abbas, yang juga ketua MKN setempat.

"Kami mengamalkan penjarakkan sosial.

"Itu semasa agihan bantuan yang dianjurkan oleh MKN tempatan," jelasnya.

Rashid juga menegaskan bahawa beliau telah mengambil langkah-langkah mematuhi garis panduan menjaga jarak sosial semasa mengagihkan sumbangan.

Sementara itu, pada hantaran di akaun Facebook Rashid, warga maya tampil memberikan ulasan mereka.

"Pimpinan melalui tauladan, kalau rakyat jelata, terus masuk lokap, tapi mereka ini mungkin kalis hukuman dan penyakit. (Menteri Kanan) Ismail Sabri, tolong tengok dan beri komen sikit," kata Mohd Azid Samah.

Pengguna akaun Facebook dengan nama Wan's Najib pula berkata: "Buatlah baik tapi tunjuk lah dekat rakyat yang anda semua patuh PKP kot."

Gambar timb menteri kesihatan tular

"Social distancing pun tak ada. Siap boleh makan satu meja beramai-ramai tu dekat dewan. Jangan marah kalau rakyat degil. YB sendiri pun boleh buat," katanya.

Sementara itu, pengguna Facebook Abdul Wahib Musa pula berkata "program ini lebih kepada aktiviti politik."

"Sepatutnya KPD BP memberi nasihat kepada mereka agar tiada program seumpama ini," gesanya.

Pada 15 April, Rashid mengagihkan sumbangan dan pemberian kepada NGO, parti politik di pusat perkhidmatan Batu Pahat.

Gambar-gambar itu kelihatan menunjukkan kurangnya jarak di antara para peserta yang bahkan bergambar berdekatan antara satu sama lain.

Pada hantaran di Facebooknya, Rashid turut menyatakan, "antara yang menerima stok sumbangan adalah Bersatu, PAS, Umno, Amanah, MIC, MCA, pejabat Adun Rengit, pejabat Adun Senggarang, Hidayah Center, Panubra, Ikram, Ci Ai, JKM, Anak Jati BP, Anak Rantau Batu Pahat, Bukit Payung Dan Penggerak Komuniti Nasional Batu Pahat."

Kritikan terhadap Rashid berikutan tular beberapa gambar Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali yang memaparkan beliau bersama rombongannya turun padang melawat Maahad Tahfiz di Lenggong, Perak.

Gambar itu kelihatan memaparkan Noor Azmi bersama exco Perak Razman Zakaria menjamu selera bersama rombongan tersebut tanpa menjaga jarak sosial.

Malaysiakini sudah menghubungi Noor Azmi bagi mendapatkan ulasan dan sedang menunggu maklum balas.

Hari ini, Razman (gambar, bawah, kiri) yang juga pengendali pusat tahfiz berkenaan tampil memohon maaf secara terbuka.

Beliau menjelaskan setiap tindakan pihaknya termasuk ketika turun padang melihat keperluan petugas barisan hadapan dalam menangani wabak Covid-19 amat menitikberatkan tentang Prosedur Operasi Standard.

Kata Adun Gunung Semanggol itu lagi, sekiranya ada yang dilihat bertentangan, perkara tersebut akan diatasi.

Dalam perkembangan berkaitan Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob hari ini memaklumkan wakil rakyat dibenarkan menjalani program di kawasan mereka semasa tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) tetapi harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Tidak (dibenarkan) pertemuan besar, jamuan besar juga tidak dibenarkan. Keluar pun tak perlu rombongan kereta besar.

“Cukup dua org sahaja ikut rombongan mereka bagi makanan atau bantuan lain atau sebagainya,” jelas beliau pada sidang akhbar harian di Putrajaya.

Kata Ismail, wakil rakyat antara individu atau kumpulan yang dibenarkan menjalani tugas ketika PKP seperti jabatan kerajaan yang lain.